Parti Warisan menafikan dakwaan yang mengaitkan kehadiran Presiden parti itu, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam satu majlis gereja baru-baru ini sebagai bermotifkan politik.
Menurut pemimpin akar umbi Parti Warisan, Alphonsus Felix Manjin, kehadiran Mohd. Shafie ke majlis anjuran Paroki St. Francis Xavier (KSFX) di bawah Keuskupan Keningau kelmarin adalah atas jemputan rasmi pihak gereja dengan pengetahuan dan restu Uskup Datuk Cornelius Piong serta Datuk Seri Panglima Victor Paul.
“Kami ingin menegaskan bahawa kenyataan Datuk Abi Gambul berhubung kehadiran Mohd. Shafie dalam satu majlis gereja baru-baru ini adalah tidak benar dan berunsur fitnah terhadap pihak gereja serta para paderi dan katekis.
“Kehadiran beliau adalah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan sokongan beliau terhadap gereja-gereja serta umat Kristian di seluruh Diosis Keningau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, majlis berkenaan merupakan acara rasmi gereja bertujuan memperkukuhkan semangat pelayanan, perpaduan dan keharmonian antara agama.
“Oleh itu, dakwaan bahawa majlis ini disalahgunakan atau diselitkan agenda politik adalah tidak berasas sama sekali,” katanya.
Jelasnya, semasa dijemput memberikan ucapan, Mohd. Shafie tidak menyentuh isu politik atau mengecam mana-mana pihak, sebaliknya menekankan pesanan perpaduan dan keharmonian.
“Beliau memaklumkan bahawa beliau telah menambah cuti umum perayaan Krismas di Sabah daripada satu hari kepada dua hari sebagai penghargaan terhadap masyarakat Kristian di negeri ini.
“Dalam ucapannya juga, Shafie menegaskan bahawa walaupun beliau seorang Islam dan bergelar haji, beliau tidak pernah menjadikan perbezaan agama sebagai alasan untuk rakyat Sabah berpecah belah.
"Sebaliknya, beliau menekankan bahawa kepelbagaian agama dan budaya adalah kekuatan sebenar Sabah yang perlu terus dipelihara,” katanya.
Tambah Alphonsus, majlis seumpama itu bukan pertama kali dihadiri Mohd. Shafie kerana pada tahun lalu beliau turut dijemput secara rasmi oleh Uskup Agung Diosis Kota Kinabalu, Datuk John Wong dalam acara anjuran Sacred Heart Cathedral, Kota Kinabalu.
“Kehadiran beliau dalam majlis keagamaan adalah atas dasar jemputan dan penghargaan, bukan kerana kepentingan politik seperti yang cuba digambarkan oleh Datuk Abi Gambul,” ujarnya.
Menurut beliau, kenyataan Abi yang mendakwa kononnya terdapat paderi dan katekis terkilan dengan kehadiran Mohd. Shafie adalah tidak benar sama sekali.
“Menjadikan pemimpin gereja sebagai bahan politik merupakan tindakan tidak bertanggungjawab, bacul dan tidak beretika.
"Fitnah seperti ini bukan sahaja mencemarkan nama baik gereja, malah boleh menjejaskan keharmonian antara umat beragama di Sabah,” katanya.
Alphonsus berharap Abi menarik balik kenyataan tersebut serta memohon maaf secara terbuka kepada pihak gereja, para paderi dan katekis yang telah difitnah tanpa asas.
“Gereja tidak boleh dijadikan alat politik oleh mana-mana pihak. Kami berdiri teguh mempertahankan maruah, integriti dan kebenaran demi menjaga kehormatan gereja serta keharmonian masyarakat berbilang agama di negeri ini,” katanya.

0 Ulasan