Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard di akhir kes pendakwaan, hari ini.
Menurut kenyataan jabatan itu, keputusan dibuat selepas Mahkamah Sesyen pada hari sama melepas serta membebaskan tertuduh tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan [Akta 574] dibaca bersama Seksyen 500 akta sama.
“Pendakwaan terhadap Chegu Bard dibuat di bawah Seksyen 500 Akta 574 atas kesalahan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong, di mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan fitnah tersebut akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu memaklumkan, setelah mempertimbangkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pihaknya telah memfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut.
Seksyen 500 Akta 574 memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataannya menegaskan bahawa langkah itu diambil demi menegakkan keadilan sejajar dengan prinsip undang-undang negara.

0 Ulasan