Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi 'memujuk' Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin agar kembali semula kepada UMNO susulan kemelut dalaman parti itu yang semakin parah.
Beliau menegaskan, langkah itu bukan soal 'gila talak', sebaliknya berpunca daripada hakikat bahawa Bersatu kini berpecah dan kehilangan haluan perjuangan ekoran konflik antara kem Hamzah dan kem Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Pokoknya Hamzah tidak mempunyai peluang untuk lawan Muhyiddin. Tapi ramai Ahli Parlimen Bersatu memihak kepadanya. Dia boleh guna senjata itu untuk tawar menawar.
"Kembalilah kepada UMNO. Ini bukan soal gila talak. Tapi Bersatu sendiri sudah bercerai-berai,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Menurut Mohd. Puad, tidak hairan jika beliau mahu memastikan Bersatu akhirnya “tutup kedai” kerana parti itu ditubuhkan dengan niat menyingkirkan UMNO.
“Ada orang bising, kenapa saya sibuk pasal rumah tangga Bersatu. Apa masalahnya? Bersatu adalah lawan UMNO yang tumbangkan UMNO pada PRU14 tahun 2018.
"Bahkan penubuhan Bersatu memang untuk membunuh dan menggantikan UMNO. Tetapi Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Muhyiddin gagal. Tun M sudah ditendang dari Bersatu. Kini giliran Muhyiddin pula,” katanya.

0 Ulasan