Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan UMNO masih belum membincangkan hasrat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin untuk kembali menyertai parti itu.
“Setakat ini belum lagi,” katanya seperti dilaporkan media semalam.
Ahmad Zahid berkata, beliau sempat bertemu dengan bekas Ketua Pemuda UMNO itu pada majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis Ahad lalu, namun menegaskan tiada perbincangan rasmi antara mereka.
“Saya cuma bertemu beliau di majlis perkahwinan dan tiada sebarang perbincangan dibuat,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa laporan yang tersebar hanyalah penulisan wartawan yang dihormatinya.
Sebelum ini, media melaporkan Khairy dijangka menyertai semula UMNO sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah, malah dikatakan telah mendapat ‘restu’ daripada kepimpinan tertinggi parti.
Khairy sebelum ini dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 susulan kritikannya terhadap kepimpinan parti ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15.
Namun, beliau berulang kali menegaskan tidak akan menyertai mana-mana parti lain kerana masih setia kepada UMNO.

0 Ulasan