Seluruh kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Rembau menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti dan calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Ketua Bersatu Bahagian Rembau, Nazree Yunus berkata, keputusan itu dicapai hasil mesyuarat bahagian berkenaan yang turut menegaskan komitmen mereka mendukung kepimpinan Muhyiddin dalam memperkukuh parti dan gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Bersatu Bahagian Rembau mendukung sepenuhnya kepimpinan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dalam mengukuhkan dan membawa kemenangan Bersatu serta PN menuju Putrajaya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, bahagian itu turut menyokong keputusan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025 yang sebulat suara mencalonkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 mewakili parti pada PRU-16.
“BERSATU Rembau juga akan bersiap siaga bersama kepimpinan parti dalam usaha memperkasa jentera pilihan raya,” katanya.
Nazree turut menghargai kejayaan kepimpinan Muhyiddin ketika menerajui kerajaan PN dalam menghadapi krisis Covid-19 yang berjaya membawa Malaysia keluar dengan selamat daripada ancaman kesihatan dan ekonomi.
Beliau menambah, perhatian juga akan diberikan kepada isu kos sara hidup rakyat yang perlu ditangani dengan dasar lebih berkesan oleh kerajaan hari ini.
“Bersatu Rembau akan menubuhkan jawatankuasa dan Talian Aduan Rakyat Rembau bagi memastikan masyarakat mempunyai saluran aduan alternatif dan proaktif,” katanya.
Nazree turut menegaskan tekad bahagian itu untuk menawan kerusi Parlimen Rembau serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong dan DUN Kota bagi menambah kerusi PN di Negeri Sembilan.

0 Ulasan