Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyatakan sokongan terhadap tindakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan yang enggan melayan pertanyaan panjang lebar daripada pembangkang ketika sesi perbahasan Bajet 2026 di Parlimen.
Beliau berkata, tindakan Ahmad adalah wajar memandangkan pihak pembangkang sendiri menolak bajet tersebut.
“Saya setuju dengan jawapan dan tindakan Ahmad di Parlimen. Buat apa jawab. Minta berjela-jela tetapi Bajet 2026 mereka tolak,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Beliau turut menegur sikap Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menengking Ahmad ketika sesi tersebut.
“Apahal Shahidan meroyan? Dia menengking Ahmad, ‘Otak kamu, Timbalan Menteri. Kamu Timbalan Menteri rakyat Malaysia. Bukan Timbalan Menteri parti kamu’,” katanya.
Menurutnya, Shahidan sepatutnya sedar bahawa beliau juga bukan hanya wakil rakyat kepada partinya, sebaliknya bertanggungjawab kepada rakyat di kawasannya.
“Samalah, Shahidan bukanlah wakil rakyat kepada partinya. Tetapi wakil rakyat kepada rakyat di kawasannya.
"Tidak wajar tolak bajet ‘in blanket’. Pembangkang hanya sokong bajet kalau elaun mereka dinaikkan,” ujarnya.
Mohd. Puad turut menasihatkan pembangkang agar mencontohi peranan rasional pihak 'pengimbang' di Dewan Negeri Johor yang tidak menggunakan bahasa kesat dalam perbahasan.
“Pembangkang di Parlimen wajar mencontohi ‘pengimbang’ di Dewan Negeri Johor. Rasional dan tidak guna bahasa kesat,” katanya.

0 Ulasan