BERSIH berkata, reformasi pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum melalui proses yang inklusif, telus dan berakauntabiliti.
Menurut BERSIH, situasi itu berlaku walaupun Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai ruang dan peluang untuk melaksanakannya.
“Reformasi ini penting bagi memulihkan kredibiliti dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi berkenaan,” katanya kenyataan hari ini.
BERSIH mengulas usul yang diluluskan dalam Kongres Anak Muda 2025, khususnya berkaitan agenda melawan rasuah dan reformasi institusi demokrasi negara.
Antara usul yang diluluskan serta disokong sebulat suara adalah gesaan agar anak muda dan rakyat segera memberi respon terhadap perkembangan agenda menentang rasuah.
Usul tersebut dikemukakan oleh Naib Presiden Liga Rakyat Demokratik, Fadhil Kassim yang sebelum ini turut menjadi penggerak utama Himpunan Rakyat Benci Rasuah.
Selain itu, kongres berkenaan turut meluluskan usul untuk mereformasi pelantikan SPRM dan SPR, selari dengan tuntutan BERSIH sebelum ini agar proses pelantikan kedua-dua institusi penting itu diperkasakan.
BERSIH turut menyatakan sokongan penuh sekiranya anak muda sekali lagi mengambil keputusan untuk turun ke jalanan bagi menggerakkan gelombang lebih besar menentang rasuah dan salah guna kuasa.
Gelombang tersebut, menurut BERSIH, akan menjadi titik penting untuk mendesak Kerajaan Madani, khususnya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, mengotakan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Memasuki tahun keempat pentadbiran Kerajaan Madani, BERSIH menegaskan rakyat mahukan usaha reformasi sejati yang diterjemahkan dalam bentuk dasar, polisi dan penguatkuasaan.
"Institusi demokrasi, katanya, perlu lebih profesional dan matang serta tidak boleh dijadikan bidak papan catur pemerintah untuk mengekalkan kuasa mana-mana pihak," jelasnya.

0 Ulasan