Rombakan Kabinet Madani tenggelam kepentingan negara dan rakyat - PAS

 

PAS menyifatkan rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sebagai percaturan politik yang menenggelamkan kepentingan negara dan rakyat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memandang serius pelantikan Hannah Yeoh (DAP) dan Lo Su Fui (GRS) sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, selain pengekalan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di tangan seorang lagi pemimpin DAP.

Menurut beliau, kebetulan ketiga-tiga tokoh berkenaan datang daripada latar belakang etnik yang sama, sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai keseimbangan dan pemusatan kuasa melampau dalam pentadbiran negara.

“Wilayah Persekutuan bukanlah portfolio biasa kerana ia mewakili jantung politik dan pentadbiran negara. 

"Pemusatan kuasa strategik bandar, kerajaan tempatan dan perumahan di tangan pemimpin daripada sebuah parti boleh menimbulkan keresahan awam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Takiyuddin menegaskan, persepsi meluas bahawa pelantikan tersebut tidak berlandaskan merit atau keperluan dasar, sebaliknya susulan tekanan dan tawar-menawar politik, menambahkan lagi keraguan terhadap integriti kerajaan.

Beliau berkata, PAS turut mengambil perhatian terhadap spekulasi bahawa pelantikan itu berkait rapat dengan tuntutan DAP termasuk isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina.

“Sekiranya jawatan kabinet digunakan sebagai ‘bunga emas’ politik untuk mengekalkan sokongan mana-mana pihak, ia jelas merupakan hakisan serius terhadap prinsip kerajaan berintegriti,” ujarnya.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan mendalam bahawa ia merupakan percaturan bagi mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama lain, sekali gus membolehkan parti itu mewarnakan dasar perbandaran, penggunaan tanah dan kerajaan tempatan tanpa semak imbang berkesan.

Takiyuddin menambah, pemusatan kuasa sedemikian pasti menimbulkan keresahan awam, khususnya dengan cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) yang dilihat berpotensi meminggirkan penduduk Melayu dan kumpulan berpendapatan rendah.

Rombakan kabinet sepatutnya memulihkan keyakinan, bukan menambah keraguan; menyembuh luka, bukan menggaraminya; merapatkan retak, bukan menambah belah,” katanya.

Beliau menegaskan, kepimpinan bukanlah sekadar mengatur bilangan anggota untuk mengekalkan kuasa, tetapi mesti mencerminkan kemajmukan masyarakat melalui pelantikan berdasarkan merit, kedewasaan dan pandangan jauh.

BACA LAGI 







Catat Ulasan

0 Ulasan