Netizen bangkit pelbagai persoalan selepas rombakan Kabinet - Asyraf

 


Rombakan Kabinet Madani yang diumumkan semalam menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat apabila komposisi kaum dan parti dalam barisan menteri serta timbalan menteri menjadi perbincangan hangat di media sosial.  

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mengikut pengumuman rasmi, Kabinet baharu menyaksikan 17 menteri berbangsa Melayu, lima Cina, dua India, lima Bumiputera Sarawak dan tiga Bumiputera Sabah

Menurut beliau, jawatan timbalan menteri pula terdiri daripada 10 Melayu, lima Cina, dua India, tujuh Bumiputera Sarawak dan enam Bumiputera Sabah. 
 
Asyraf berkata, dari segi parti gabungan, Kabinet Madani menampilkan sembilan menteri daripada PKR, lima daripada DAP, dua daripada Parti Amanah Negara (AMANAH), lapan daripada Barisan Nasional (BN), lima daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan seorang daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).  

"Namun, di ruangan maya, pelbagai persoalan dibangkitkan oleh netizen. 

"Antaranya mengenai pelantikan Menteri Wilayah Persekutuan daripada DAP dan timbalannya daripada GRS yang kedua-duanya berbangsa Cina. 

"Ada yang mempersoalkan nasib Bumiputera bandar serta mengaitkan isu itu dengan kemungkinan pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.  

Beliau menambah, pelantikan Timbalan Menteri Agama turut menimbulkan kontroversi apabila dikaitkan dengan isu hutang scam emas RM14 juta serta perdebatan mengenai amalan doa dan ibadah. 
 
Asyraf berkata, turut menjadi perhatian adalah pelantikan seorang aktivis PKR sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang sebelum ini lantang menuntut supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan ketika era pemerintahan BN.  

Beliau menegaskan, keresahan rakyat tidak boleh dipandang ringan.  

“Sentimen sebegini tidak boleh dipandang enteng dan perlu ditangani secara bijaksana," katanya.







Catat Ulasan

0 Ulasan