Islam bukan modal politik bagi UMNO - Zahid

 

UMNO tidak pernah menolak atau mengeksploitasi agama Islam dalam perjuangannya kerana bagi parti itu, Islam adalah panduan kenegaraan, bukannya modal politik.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Islam dibina melalui dasar dan institusi, bukan slogan mahupun retorik.

“Islam telah dimartabatkan melalui Perkara 3, peranan Raja-Raja Melayu diperkukuhan di dalam Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Inilah jasa besar UMNO yang jangan sesekali kita lupa.

“Pentadbiran hal ehwal dan perundangan Islam disusun secara berautoriti melalui Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), majlis dan jabatan agama Islam negeri serta mahkamah syariah,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup sempena Multaqa Ilmuan Islam Malaysia yang dianjurkan oleh Majlis Ulama UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, pelbagai usaha dan ikhtiar berterusan telah dilakukan oleh UMNO untuk menjadikan Islam berfungsi dalam sebuah negara majmuk yang berdaulat.

Ahmad Zahid menambah, pendidikan Islam pula terus diperkasakan secara menyeluruh melalui sistem pendidikan kebangsaan, sekolah-sekolah agama, sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), institusi-institusi pengajian tinggi dan institusi tahfiz diperkukuh dalam kerangka nasional, agar lahirnya generasi yang seimbang duniawi serta ukhrawi.

“Penubuhan Tabung Haji, pembangunan perbankan dan kewangan Islam, serta pemerkasaan institusi zakat juga wakaf membuktikan bahawa Islam bukan sekadar identiti, tetapi sumber kemakmuran dan kesejahteraan.

“Inilah usaha dan ikhtiar UMNO yang menjadikan Islam berfungsi dalam sebuah negara majmuk yang berdaulat, stabil dan dihormati,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan