Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengambil maklum dan memandang serius keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini, sebelum dipindahkan ke kawasan Bukit Tagar pada tahun 2030 di atas tanah seluas kira-kira 202 hektar.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini, berikutan keputusan tersebut, baginda menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan berkenaan, khususnya apabila ada kemungkinan ia melibatkan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.
"Secara prinsipnya, baginda akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal, demi untuk memenuhi keperluan sumber makanan rakyat l berbangsa Cina dan bukan Islam di negeri Selangor.
"Namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya adalah populasi orang Melayu Islam," jelas kenyataan itu.
Baginda juga menzahirkan kebimbangan memandangkan kawasan Kuala Langat didiami oleh ramai penduduk Melayu, dan sehingga ke hari ini, masalah berkaitan penternakan babi di kawasan tersebut masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.
"Penduduk sekitar telah lama menanggung pelbagai kesan negatif termasuk bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai, serta masalah lalat yang tidak berkesudahan, yang menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan awam," jelas kenyataan itu.
Baginda berkenan memetik beberapa firman Allah SWT, antaranya dalam surah al-An’aam ayat 145 yang menyebut bahawa daging babi adalah najis/kotor, bermaksud :-
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor".
Sultan Selangor ingin menegaskan bahawa kediaman baginda, Istana Pantai Bahagia juga terletak di kawasan Kuala Langat, dan baginda sendiri merasai serta menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi di kawasan tersebut.
"Justeru, adalah tidak munasabah untuk isu yang berlarutan lebih sedekad ini dibiarkan berulang dalam skala yang lebih besar," kata kenyataan itu.
Sultan Sharafuddin mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat serta menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti yang dialami oleh penduduk sekitar.
Atas sebab itu juga, baginda tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan kawasan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi sebelum berpindah ke Bukit Tagar kerana bimbang masalah pencemaran yang telah berlarutan di kawasan itu sejak 16 tahun lalu akan menjadi lebih buruk.
"Justeru, Baginda mempersoalkan dengan serius sama ada perancangan projek penternakan babi berskala besar ini ada melibatkan kepentingan kelompok ahli politik dan ahli perniagaan tertentu, serta menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus dalam proses perancangan dan kelulusan projek berkenaan," jelas kenyataan tersebut.
Baginda turut berkenan mengimbas kembali inisiatif Kerajaan Negeri Selangor yang pernah menghantar wakil ke luar negara untuk mendapatkan informasi tentang penternakan babi secara moden.
"Namun, dikhabarkan bahawa kos pemodenan itu menelan belanja yang sangat tinggi dan tidak sanggup untuk ditanggung oleh pengusaha ternakan.
"Jadi, baginda mempersoalkan cadangan terbaharu ini sama ada ia akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, sedangkan peruntukan itu lebih bermanfaat disalurkan untuk pembangunan kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan hospital," kata kenyataan itu.
Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa baginda tidak membantah sepenuhnya cadangan projek berkenaan, namun kajian pasaran harus dibuat dengan teliti dan rasional sebelum ketetapan muktamad dibuat.
"Ini kerana pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.
"Kerajaan Negeri hendaklah bertindak dengan amanah, telus dan bertanggungjawab, serta mengutamakan kepentingan rakyat melebihi segala kepentingan lain," jelas kenyataan itu.

0 Ulasan