Lelaki warga China berlagak samseng acu pisau ditahan

 

Polis menahan seorang lelaki warga China selepas bertindak agresif mengacukan sebilah pisau terhadap pekerja sebuah kedai serbaneka di KK Super Mart, Taman Dagang, Ampang Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi semasa pengadu sedang menyusun barangan di premis berkenaan sebelum terdengar bunyi bising di bahagian kaunter bayaran.

Menurut beliau, rakan sekerja pengadu kemudian meminta bantuan selepas seorang lelaki warga asing cuba membeli rokok, namun gagal membuat bayaran menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) yang diberikan.

"Pihak polis yang dihubungi pada awalnya telah mengarahkan suspek beredar dari kawasan tersebut namun tidak lama kemudian suspek datang semula ke tempat kejadian.

"Suspek bertindak melakukan kekacauan dengan menjatuhkan barangan di kaunter bayaran serta mengacukan pisau kepada pengadu. 

"Pihak polis dipanggil sekali lagi dan suspek berjaya ditangkap pada pukul 12.30 tengah hari hari yang sama," katanya dalam  kenyataan media hari ini.

Khairul Anuar berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula 2 Februari sehingga esok bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan