Perkembangan mutakhir dalam PAS menunjukkan satu hakikat yang semakin sukar disembunyikan iaitu parti tersebut sedang berdepan krisis nilai dan krisis kejujuran perjuangan.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, apabila tokoh-tokoh dalam PAS sendiri termasuk Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin dan bekas pemimpin pusat tampil menegur secara terbuka keputusan dan proses dalaman parti, ia bukan lagi isu kecil atau persepsi musuh politik.
"Ia adalah isyarat bahawa sesuatu yang serius sedang rosak dari dalam," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, apa yang berlaku dalam PAS bukan konflik biasa sebaliknya krisis prinsip.
Mahfuz berkata, apabila Majlis Syura Ulama dan Mursyidul Am dipersoalkan dan diketepikan, keputusan besar dibuat secara tergesa-gesa, teguran dianggap ancaman dan ketaatan kepada pimpinan diangkat mengatasi kebenaran, maka PAS sedang bergerak menjauhi prinsip Islam yang sebenar dan menghampiri budaya politik matlamat menghalalkan cara.
Beliau berkata, Islam tidak pernah mengajar membungkam suara yang menegur, mempolitikkan agama untuk mempertahankan kuasa atau melabel semua kritikan sebagai musuh.
"Ahli PAS kini berani bersuara. Tanda keretakan: Semakin ramai ahli dan pimpinan PAS sendiri kini berani membuka pekung, bukan kerana mereka benci PAS, tetapi kerana mereka tidak sanggup lagi berdiam diri terhadap kepalsuan yang dibungkus atas nama agama.
"Ini tanda jelas: Krisis keyakinan sedang berlaku di peringkat akar umbi.
"Parti tidak runtuh kerana ahli yang menegur," katanya.

0 Ulasan