Majlis Syura Ulama PAS terima rayuan 3 ADUN Perlis dihenti keahlian

 

Majlis Syura Ulama PAS telah menerima rayuan tiga ADUN Perlis iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji) yang dihentikan keahlian parti pada 24 Disember lalu.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur 27 Januari lalu.

"Majlis Syura Ulama menyerahkan kepada PAS Pusat untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan media semalam.

Hashim berkata, faktor penerimaan adalah seperti berikut:

1. Prinsip al-Quran, antaranya firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara saudaramu.” (Surah al-Hujurat: 10)

Perintah al-Quran ialah ukhuwah dan persaudaraan, bukannya menghentikan ahli tanpa kasih sayang. Rahmat Allah dan islah diutamakan, bukan menyemarakkan nafsu amarah dalam jamaah.

2. Manhaj Nabi ﷺ dalam hukuman adalah mendahulukan taubat, membuka pintu kemaafan dan bukan tergesa-gesa menghukum seperti hadith al-Ghamidiyyah dan Juhainah.

3. Kaedah Fiqh menyebutkan (الضَّرَرُ يُزَالُ) “Kemudaratan hendaklah dihilangkan”. Apabila tiga kawasan DUN tiada wakil rakyat berfungsi, maka terhasillah kemudaratan awam (ضرر عام) yang jelas. Kebajikan rakyat tidak boleh dikorbankan demi ketegasan pentadbiran parti.

Beliau berkata, siasah syar‘iyyah matlamatnya adalah menjaga kesatuan saf, memelihara kepercayaan dalaman serta mengurus khilaf tanpa memusnahkan jamaah. 

"Rakyat pula tidak boleh menjadi mangsa konflik dalaman parti," katanya.

Hashim berkata, PAS ialah jemaah Islam yang memperuntukkan kuasa yang besar kepada Majlis Syura Ulama dan Mursyidul Am dalam Perlembagaan untuk memelihara Perlembagaan supaya dasar parti dipatuhi dalam kegiatan dan pentadbiran PAS.

"Majlis Syura Ulama perlu membawa watak adil, pendamai dan pemaaf dalam menyatukan ahli PAS yang berpecah, khasnya di Perlis supaya tidak berterusan, ulama tidak boleh menambah api permusuhan yang marak menyala," jelasnya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan