Kerajaan tak ambil jalan populis tangani krisis harga minyak - Mahfuz

 

Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Mac 2026 merupakan satu pendekatan menyeluruh dan berimbang dalam menghadapi tekanan krisis tenaga global yang semakin meruncing.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan bekalan minyak dan gas dunia, kerajaan memilih untuk bertindak secara proaktif bagi melindungi kepentingan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.

Menurut beliau, keputusan untuk mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 menunjukkan komitmen jelas kerajaan dalam memastikan rakyat tidak terbeban secara langsung.

"Pada masa yang sama, penyelarasan subsidi kepada 200 liter sebulan adalah langkah rasional berdasarkan data penggunaan sebenar rakyat. penyelarasan subsidi secara bersasar memastikan hampir 90 peratus rakyat tidak terjejas, sekali gus membuktikan bahawa bantuan diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

"Langkah mengekalkan had penggunaan yang lebih tinggi bagi pemandu e-hailing sebanyak 800 liter sebulan juga mencerminkan keprihatinan terhadap golongan pekerja gig yang bergantung kepada penggunaan bahan api sebagai sumber pendapatan harian.

"Selain itu, pelaksanaan kawalan pengisian diesel di Sabah dan Sarawak adalah satu tindakan perlu bagi mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludupan yang telah lama merugikan negara. 

"Tanpa kawalan yang lebih ketat, perbezaan harga bahan api berisiko membuka ruang kepada penyalahgunaan yang akhirnya menjejaskan bekalan dan kewangan negara," katanya dalam kenyataan media pada 27 Mac 2026.

Mahfuz berkata, cadangan untuk memperluaskan amalan kerja fleksibel pula adalah langkah progresif yang bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan kos kepada rakyat, malah meningkatkan kecekapan dan keseimbangan kehidupan kerja dalam sektor awam dan swasta.

Menurut beliau, hakikatnya, langkah-langkah ini bukan bertujuan untuk membebankan rakyat, tetapi untuk memastikan negara tidak terdedah kepada risiko yang lebih besar sekiranya krisis global terus berlarutan.

"Kerajaan tidak mengambil jalan populis yang mungkin memberi kelegaan sementara tetapi mengundang risiko jangka panjang. 

"Sebaliknya, pendekatan yang diambil adalah bertanggungjawab, berhemat dan berpandangan jauh.

"Rakyat wajar menilai langkah ini secara rasional  sebagai usaha melindungi majoriti, mengurangkan pembaziran, dan memastikan kestabilan negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks," jelasnya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan