Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tiada sebab harga minyak dinaikkan di Semenanjung Malaysia, tetapi tidak di Sabah dan Sarawak kerana Malaysia tidak termasuk dalam sekatan Iran di Selat Hormuz.
Menurut beliau, hal ini disebabkan Iran menghargai ramai rakyat Malaysia yang berani tidak berpihak kepada kerajaan yang masih ketakutan kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel, yang nyata penceroboh terhadap negara Islam yang berdaulat bersama Islamnya serta tidak menjadi ancaman kepada dunia kerana benar-benar mengharamkan senjata pemusnah yang melampau.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, pada masa yang sama, Malaysia mempunyai telaga minyak dan gas sendiri serta masih banyak sumber lain yang boleh diselesaikan bersama dalam dunia Islam, khususnya negara jiran yang banyak sumber alamnya yang dikurniakan Allah.
"Masalah sebenar yang berlaku banyaknya kebocoran dan salah laku dalam pengurusan.
"Tidak ada sebab untuk menaikkan harga minyak kerana sebelum ini pernah membuat kenyataan yang berdegar-degar, boleh menyelesaikan isu harga minyak dalam masa kurang daripada 24 jam, tetapi hari ini bersikap penakut dan hilang dunianya dengan berperisaikan alasan kenaikan harga minyak bersama AS dan sekutunya, yang sebenarnya berpunca daripada sekatan yang dilakukan oleh Iran.
"Hakikatnya, Malaysia tidak termasuk dalam negara yang disekat kerana rakyat negara ini menyokong Palestin dan Republik Islam Iran yang diceroboh," katanya dalam kenyataan pada 8 April 2026.
Beliau menambah, orang Melayu dan bumiputera pernah ditipu oleh penjajah British dahulu melalui pengisytiharan darurat untuk menentang komunis dan sebagainya.
Abdul Hadi berkata, sebenarnya untuk mengekalkan penjajahan mereka dengan berbagai-bagai helah, termasuk menjadikan negara terus bergantung dengan penjajah selepas kemerdekaan dengan membodohkan rakyat dan melemahkannya.
"Tun Dr. Mahathir Mohamad, negarawan negara pernah memberikan amaran bahawa Melayu dan bumiputera jangan mudah lupa, termasuk lupa akan janji boleh menurunkan harga minyak dalam sekelip mata," jelasnya.

0 Ulasan