Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh merangkap Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular kononnya terdapat ADUN-ADUN UMNO Negeri Sembilan yang telah menghadiri satu perjumpaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi merancang gerakan politik untuk menjatuhkan kerajaan negeri.
Menurut beliau, dakwaan tersebut adalah tidak benar, tidak berasas dan sama sekali tidak disokong oleh sebarang fakta atau bukti yang sah.
Katanya, ia dilihat sebagai cubaan terdesak untuk mencetuskan persepsi politik serta mengalihkan perhatian rakyat daripada krisis institusi, adat dan perlembagaan yang sedang melanda Negeri Sembilan ketika ini.
"Lebih membimbangkan, dakwaan tersebut kini cuba diperkuatkan dengan penyebaran pelbagai cerita dan dokumen yang kononnya membuktikan wujudnya komplot politik melibatkan ADUN-ADUN UMNO Negeri Sembilan.
"Namun sehingga hari ini, tiada sebarang bukti yang sah, jelas dan boleh disahkan pernah dikemukakan kepada rakyat bagi menyokong tuduhan tersebut," katanya dalam kenyataan media pada 10 Jun 2026.
Bibi Sharliza menolak sekeras-kerasnya cubaan mengaitkan ADUN-ADUN UMNO Negeri Sembilan dengan dakwaan kononnya wujud gerakan menjatuhkan kerajaan atau usaha “tebuk atap”.
Beliau berkata, tuduhan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan usaha terancang untuk membina persepsi politik tanpa sebarang asas yang kukuh.
"Jika benar terdapat perjumpaan atau komplot seperti yang didakwa, kemukakan bukti kepada rakyat.
"Jika tiada bukti, hentikan segera budaya politik fitnah, spekulasi dan penyebaran maklumat palsu yang hanya mengeruhkan keadaan serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi demokrasi," jelasnya.
Katanya, apa yang lebih membimbangkan adalah ketika rakyat sedang menuntut penjelasan dan penyelesaian terhadap isu sebenar yang melibatkan institusi adat dan perlembagaan negeri, masih ada pihak yang memilih untuk bermain dengan naratif politik bagi menutup kelemahan dan kegagalan sendiri.
Bibi Sharliza berkata, politik yang matang seharusnya berteraskan fakta dan kebenaran, bukannya khabar angin yang sengaja direka untuk mengelirukan rakyat.
Menurut beliau, rakyat Negeri Sembilan mahukan jawapan terhadap isu sebenar yang sedang berlaku.
"Mereka mahu melihat kepimpinan yang bertanggungjawab dan berani menyelesaikan masalah, bukannya terus menuding jari serta mencipta musuh politik khayalan bagi menutup kegagalan pentadbiran.
"Wanita UMNO Negeri Sembilan berpendirian bahawa rakyat berhak mendapat fakta, bukannya persepsi.
"Negeri Sembilan memerlukan penyelesaian, bukannya spekulasi. Negeri ini memerlukan kepimpinan yang fokus kepada kestabilan, keharmonian institusi dan kesejahteraan rakyat, bukannya terus dibelenggu dengan permainan politik yang tidak
membawa manfaat kepada sesiapa.
"Jangan cuba mencipta naratif kononnya wujud gerakan “tebuk atap”, komplot politik atau perancangan menjatuhkan kerajaan semata-mata untuk mengalihkan perhatian daripada persoalan sebenar yang sedang dipersoalkan oleh rakyat," katanya.

0 Ulasan