Mila yakin kemampuan sendiri

Mila yakin kemampuan sendiri

SEREMBAN 16 Mei - Bidang keusahawanan memerlukan semangat juang dan kecekalan yang tinggi di samping bersabar dengan semua dugaan yang datang.

Dengan berbekalkan semangat 'Yakin Boleh!', Mila Mohamed, 40, tekad meninggalkan alam pekerjaan kira-kira empat tahun yang lalu dan menceburi bidang perniagaan selaku pemilik Amethyst Lights and Deco Cawangan Senawang.

"Setelah bekerja makan gaji selama kira-kira 20 tahun di sebuah institusi perbankan dan sebuah institusi pengajian tinggi swasta, saya terdorong untuk memulakan perniagaan sendiri.

"Memang begitu banyak pengalaman pahit dan manis yang saya tempuh sejak bergelar seorang usahawan, namun semua itu memantapkan jati diri untuk mencipta kejayaan dalam bidang ini," ujar beliau ketika ditemui di sini hari ini.

Dilahir dan dibesarkan di Jasin, Melaka, ibu kepada tiga orang anak yang sedang meningkat remaja ini memilih perniagaan menjual lampu dan barang hiasan kerana produk-produk berkenaan dirasakan sangat serasi dengan naluri kewanitaannya.

Jelasnya, beliau membuka cawangan Amethyst Lights and Deco dengan berbekalkan modal dari wang simpanan sebanyak RM40,000 dan pinjaman melalui skim Prosper sebanyak RM310,000.

Tambah Mila, pada pengamatannya tidak ramai usahawan bumiputera yang berkecimpung dalam jualan lampu dan barangan hiasan lalu ini mencetuskan ilham untuk merintis laluan dalam bidang tersebut.

Kata beliau, "Saya tertarik untuk berpayung di bawah Amethyst Lights and Deco kerana syarikat tersebut mempunyai konsep perniagaan yang menarik di samping dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera."

Bertempat di Taman Komersial Senawang, syarikat itu menjual pelbagai produk lampu dan hiasan di termasuk lampu meja, lampu dinding, lampu siling, 'chandelier' dan terendak lampu dengan harga bermula dari RM9.90 hingga RM6,000.

"Di samping itu, kami turut menjual perabot antik dan menyediakan khidmat pemasangan, penghantaran, runding hias dan pendawaian elektrik.

"Selain daripada jualan runcit, kami pernah membekalkan produk dan khidmat rundingan untuk agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta, hotel dan rumah peranginan," jelas Mila.

Menurut beliau, produk-produk yang dijual di kedainya diimport dari Eropah, Asia Barat, Taiwan, Hong Kong dan China.

(Utusan Malaysia, 17 Mei 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan