Jadilah guru berkualiti - Tuanku Ja'afar

Jadilah guru berkualiti - Tuanku Ja'afar

SEREMBAN 8 Mei - Seramai 355 guru lepasan Institut Perguruan Raja Melewar di sini disaran agar memahami peranan mereka sepenuhnya dalam merealisasikan misi negara membangunkan modal insan yang cemerlang.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman bertitah, guru yang berkualiti dan cemerlang bukan sahaja dinilai daripada aspek ilmu dan kemahiran semata-mata, malah yang lebih penting adalah keperkasaan dari segi profesionalisme, prinsip dan keutuhan peribadi.

Titah baginda, di samping itu, guru juga perlu memantapkan diri dari segi kecekapan dan keterampilan mental serta intelektual, kestabilan emosi dan rohani serta kepimpinan.

''Semua sifat tersebut adalah penting dalam diri seorang guru untuk mempersiapkan diri sebagai contoh kepada generasi bakal peneraju kemajuan negara pada masa akan datang,'' titah baginda.

Tuanku Ja'afar bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen Ke-30 lulusan 2007 Institut Perguruan Raja Melewar di sini hari ini.

Turut hadir Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Institusi Pengajian Tinggi negeri, Shamsulkahar Mohd. Deli dan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Murtadza Ahmad.

Sementara itu, baginda bertitah, Majlis Konvokesyen hari ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan masyarakat terhadap para lulusan institut itu.

Malah, titah baginda, majlis itu juga adalah sebagai tanda penyerahan watikah pelantikan serta amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan sebagai seorang pendidik.

Titah Tuanku Ja'afar, para lulusan institut itu perlu meningkat dan memperkemas diri dengan ilmu yang mantap agar profession perguruan dapat mencapai kualiti yang membanggakan.

Sementara itu, baginda turut mengingatkan para lulusan institut itu bahawa kecemerlangan generasi masa depan terletak di tangan mereka selaku pendidik.

''Jika generasi yang dididik pada masa ini berjaya menjadi insan yang memberi sumbangan positif kepada pembangunan dan keamanan bangsa dan negara, ini bermakna guru telah berjaya dalam menjalankan tugas sebagai pendidik yang unggul,'' titah baginda.

Pada majlis berkenaan, Tuanku Ja'afar turut menyampaikan Anugerah Kerajaan Negeri Sembilan kepada Nurul Fuziah Muhamad, 27, dan Anugerah Melewar serta Anugerah Pengasuh Bahasa Melayu kepada Roslina Sinin, 31.

Di samping itu, baginda turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Khas Gerko kepada Mohammad Amzari Yaacob, 29, dan Anugerah Khas Praktikum kepada Fatimahshura Yaacob, 28.

(Utusan Malaysia, 9 Mei 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan