Anak pesara guru rangkul dua anugerah cemerlang
SEREMBAN 8 Mei - Anak pesara guru, Roslina Sinin, 31, menerima Anugerah Melewar dan Anugerah Pengasuh Bahasa Melayu sebagai mengiktiraf kecemerlangan beliau dalam akademik dan Bahasa Melayu pada Majlis Konvokesyen ke-30 lulusan 2007 Institut Perguruan Raja Melewar di sini hari ini.
Jelas Roslina, dorongan keluarga dan minat mendalam terhadap profesion perguruan merupakan faktor penyumbang untuk mencapai yang terbaik dalam segala bidang yang diceburi semasa mengikuti pengajian Diploma Perguruan dalam bidang Pengajian Bahasa Melayu di institut itu.
Tambahnya, walaupun terpaksa berjauhan selama setahun dengan suami, Zulhasymi Hamidon, 32, dan anak, Mohd. Zalhalmi Zulhasymi, 2, beliau tetap cekal memendam rasa rindu demi mengejar cita-cita sebagai seorang pendidik.
''Sejak kecil, saya ingin mengikut jejak langkah ibu sebagai guru dan sebelum mengikuti pengajian di institut ini, saya pernah menjadi tutor selama enam tahun," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.
Roslina menerima dua anugerah berkenaan daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman.
Beliau dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dari Universiti Malaya pada tahun 2002 dan kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Seri Bintang, Cheras, Selangor.
''Saya akan menjadikan dua anugerah yang diterima pada hari ini sebagai penyuntik semangat untuk sentiasa cekal dan tabah mendidik generasi muda ke arah kecemerlangan dalam segala lapangan," ujarnya.
Sementara itu, Nurul Fuziah Muhamad, 27, muncul sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Kerajaan Negeri Sembilan pada majlis yang sama.
Beliau yang merupakan lulusan Diploma Perguruan dalam Pengajian Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, menerima anugerah tersebut sebagai pengiktirafan kecemerlangan dan sumbangan kepada institut dalam bidang sukan.
(Utusan Malaysia, 9 Mei 2008)
0 Ulasan