Kembali sebagai juara - Nadzmi
PORT DICKSON - Setelah menjalani program bina semangat selama tiga hari di sini, pasukan badminton negara tampak lebih ceria dan bersemangat untuk menghadapi cabaran merebut Piala Thomas/ Uber di Jakarta, 11-18 Mei ini.
Menurut Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohd. Nadzmi Salleh, program yang dianjurkan itu jelas memberi impak yang positif terhadap motivasi dan semangat juang pasukan badminton negara.
Beliau berkata, ketiadaan motivasi dan semangat juang yang tinggi boleh menjejaskan prestasi pemain dan pasukan dalam mana-mana kejohanan yang disertai.
''Hari ini saya dapat melihat wujudnya semangat setiakawan dan bekerja sebagai satu pasukan di kalangan pemain. Saya gembira kerana program ini telah berjaya mencapai matlamatnya," ujar Mohd. Nadzmi ketika berucap dalam majlis perasmian penutup program bina semangat pasukan badminton negara di sini, semalam.
Tambah beliau, program ini juga berjaya merapatkan hubungan di antara tiga generasi pemain veteran, senior dan junior.
Jelasnya, pemain baru seperti Mohd. Arif Abdul Latif boleh menimba banyak pengalaman berharga daripada pemain-pemain veteran seperti Choong Tan Fook, Lee Wan Wah dan Wong Choon Han.
Mohd. Nadzmi menjelaskan, kejohanan Piala Thomas/Uber pada kali ini mungkin yang terakhir disertai oleh pemain-pemain veteran.
''Sehubungan itu, saya berharap mereka dapat meninggalkan kenangan manis dengan membawa pulang Piala Thomas/Uber ke pangkuan negara sebelum mengundur diri daripada arena badminton antarabangsa.
''Kepada pemain senior dan baru, mereka perlu menggunakan kejohanan Piala Thomas/Uber akan datang sebagai gelanggang untuk mencipta kejayaan," katanya.
Sementara itu, beliau menambah, antara masalah yang sering dihadapi oleh pasukan badminton negara ialah pemain kelihatan gementar ketika kejohanan melewati babak separuh akhir dan akhir.
Tegas Mohd. Nadzmi, sikap sedemikian perlu dikikis kerana pasukan badminton negara yang dibarisi oleh pemain-pemain bertaraf dunia sepatutnya memiliki keyakinan diri yang tinggi.
''Jangan berasa gentar terhadap lawan. Setiap pemain perlu membuat kerja rumah dengan mengkaji lawan masing-masing dari segi kelemahan dan kekuatan mereka dan jika kita memiliki pengetahuan ini, kita akan lebih yakin ketika bertarung dengan mereka di gelanggang," ujarnya.
Dalam minggu terakhir menjelang kejohanan Piala Thomas/Uber, jelas beliau, setiap pemain perlu membuang semua perkara yang boleh mengganggu tumpuan mereka terhadap permainan.
Mohd. Nadzmi juga percaya program bina semangat ini berjaya memantapkan gandingan pemain beregu dan memupuk semangat bekerjasama yang erat sesama mereka.
''Pemain juga perlu mendengar pandangan dan nasihat daripada jurulatih di samping berfikir dengan pantas serta memberikan yang terbaik ketika beraksi di dalam gelanggang.
''Jangan simpan... lepaskan semuanya dan lakukan apa sahaja untuk memenangi kejohanan ini. Tetapkan minda untuk pulang dari Jakarta sebagai johan dan ceriakan rakyat Malaysia dengan membawa piala Thomas/Uber kembali ke negara ini," kata beliau.
(Utusan Malaysia, Sukan, 5 Mei 2008)
0 Ulasan