Tingkatkan pembinaan rumah kos rendah

Tingkatkan pembinaan rumah kos rendah

SEREMBAN 4 Mei - Kerajaan negeri menggesa pemaju perumahan melaksanakan tanggungjawab sosial mereka dengan membina lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Siow Chen Pin, berkata, pemaju perumahan juga perlu memikirkan tentang keperluan membina rumah kos rendah dan sederhana.

Beliau berkata, rumah merupakan satu keperluan asas untuk semua golongan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan kedudukan kewangan.

''Pelaksanaan projek perumahan kos rendah dan sederhana untuk golongan kurang berkemampuan telah disenaraikan sebagai salah satu agenda utama kerajaan negeri dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

''Untuk merealisasi agenda ini, kerajaan negeri telah menguatkuasakan arahan supaya pemaju swasta membina sekurang-kurangnya 30 peratus unit rumah kos rendah daripada keseluruhan komponen projek perumahan yang diluluskan," kata Chen Pin ketika berucap merasmikan Ekspo Perumahan Negeri Sembilan 2008 di sini kelmarin.

Tambah beliau, pemaju hendaklah memainkan peranan yang penting dalam membantu kerajaan negeri mencapai matlamat sebuah rumah bagi setiap keluarga.

Sementara itu, Chen Pin meminta semua pemaju mengamalkan sikap telus dan profesional semasa menguruskan projek perumahan masing-masing.

Jelasnya, pembeli berhak memperoleh maklumat tentang perkembangan projek perumahan yang sedang dilaksanakan dan pemaju perlu memberi kerjasama kepada mereka berhubung hal ini.

Sebagai contoh, kata beliau, pemaju hendaklah memaklumkan kepada pembeli sekiranya terdapat kelewatan dalam menyiapkan projek dan tidak hanya membiarkan pembeli berada dalam situasi penuh tanda tanya.

''Amalan telus dan profesional seperti ini boleh meningkatkan imej dan kredibiliti pemaju di mata pembeli," ujarnya.

(Utusan Malaysia, 5 Mei 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan