'Hitam Manis' juara serama gaya terbaik
PORT DICKSON 1 Jun - 'Hitam Manis' muncul juara kategori gaya terbaik dalam Pertandingan Kesenian dan Kecantikan Ayam Serama anjuran Majlis Tindakan Pelancongan negeri di sini semalam.Ayam serama jantan berumur satu tahun tiga bulan itu menang bergaya setelah menewaskan 198 ayam serama lain yang menyertai pertandingan berkenaan.
Pemiliknya, Wan Abd. Ghani Wan Latiff, 48, memberitahu, selain bulunya yang cantik, Hitam Manis memang pandai bergaya.
''Semakin ramai orang yang memerhatikannya, semakin hebat gayanya. Mungkin faktor itu banyak membantunya menjuarai pertandingan ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam.
Kemenangan Hitam Manis itu melayakkan Wan Abd. Ghani membawa pulang hadiah berupa sebuah piala, wang tunai RM300 serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Abdul Wahab Shamsudin.
Dia yang berasal dari Kuala Terengganu, berkata, kemenangan pada kali ini amat bermakna kerana ia merupakan kali pertama Hitam Manis menjuarai pertandingan ayam serama.
''Sebelum hari pertandingan, saya memastikan Hitam Manis sentiasa berada dalam keadaan sihat serta bebas dari sebarang tekanan.
''Saya sering mengusap bulunya dengan lembut di samping memberi perhatian secukupnya terhadap aspek pemakanan dan kebersihan tubuh haiwan berkenaan," jelasnya.
Wan Abd. Ghani menambah, membela ayam serama merupakan hobinya sejak 1992 dan kini dia memiliki sebanyak 30 ekor haiwan tersebut yang dibiakkan menerusi baka yang sama.
Menurutnya lagi, sebelum ini, ayam-ayam serama miliknya pernah menjuarai enam pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan.
(Utusan Malaysia, 2 Jun 2009)
0 Ulasan