Polis, media perlu bekerjasama tangani gejala rempit


Polis, media perlu bekerjasama tangani gejala rempit

ABD. Halil Hamzah (empat dari kanan) bertukar cenderamata dengan Ketua Pasukan Media, Rais Yeop Johari pada perlawanan persahabatan futsal antara polis Cawangan Trafik Kontinjen negeri dan Kelab Wartawan Negeri Sembilan (iKWAN) di Seremban, semalam.


SEREMBAN 20 Mei - Pengamal media di negeri ini disaran supaya meneruskan kerjasama erat dengan polis bahagian trafik bagi membanteras gejala rempit daripada berleluasa.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah berkata, pengamal media boleh memainkan peranan dengan menyebarkan maklumat berhubung operasi mencegah kegiatan rempit oleh pihak polis.

Katanya, berita dan gambar tentang tangkapan mat rempit yang dipaparkan media berupaya menjadi peringatan kepada golongan berkenaan supaya menghentikan perbuatan yang menyalahi undang-undang itu.

''Pengamal media di negeri ini memberikan kerjasama yang sangat baik dalam memaparkan operasi serta tangkapan mat rempit oleh polis bahagian trafik. Diharap kerjasama yang sedia terjalin ini akan diteruskan," ujarnya.

Abd. Halil berkata demikian ketika berucap selepas perlawanan futsal persahabatan antara polis Cawangan Trafik Kontinjen negeri dan Kelab Wartawan Negeri Sembilan (iKWAN) di sini malam tadi.

Hadir sama Presiden iKWAN, Ainol Amriz Ismail dan Setiausahanya, Ahmad Syahrul Derauh.

Perlawanan futsal persahabatan tersebut yang disertai 20 pegawai dan anggota polis Cawangan Trafik Kontinjen negeri serta 20 ahli iKwan bertujuan mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Beliau menambah, pihak polis tidak berkompromi terhadap isu rempit dan langkah-langkah pencegahan terhadap aktiviti yang menyalahi undang-undang jalan raya itu akan diperhebatkan.

''Walaupun gejala rempit di negeri ini masih terkawal, ia tidak bermakna isu berkenaan boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, polis bahagian trafik negeri bertekad untuk membanteras gejala tersebut sehingga ke akar umbi," tegasnya.

(Utusan Malaysia, 21 Mei 2009, m/s 27)

Catat Ulasan

0 Ulasan