Tengkorak wanita Palestin retak akibat dihentak buntut senapang polis rejim Zionis


Seorang wanita Palestin dari Jerusalem terpaksa menjalani pembedahan untuk memasang kepingan besi pada tengkoraknya yang retak akibat dihentak dengan buntut senapang oleh seorang anggota polis rejim Zionis Israel.

The Palestinian Information Center yang memetik akhbar Haaretz menjelaskan, mangsa, Rina Darbas, 36, telah memfailkan aduan kepada Kementerian Keadilan Israel yang bertanggungjawab menyiasat salah laku anggota-anggota polis.

Malangnya, mereka cuba meyakinkan Rina kononnya dia cedera akibat dilontar batu.

Penyiasat mendakwa beberapa soalan yang ditanya dalam keterangan bersumpah Rina "bertujuan menambah baik siasatan dan pasti bukan memberi keterangan untuk menentukan keputusannya".

Mangsa berkata, kejadian berlaku enam minggu lalu ketika dia cuba melindungi anak lelakinya yang berusia 14 tahun daripada ditahan polis rejim di daerah Issawiya.

Polis rejim menangkap anak lelakinya, mendesak untuk memeriksa baju dan kasutnya untuk memastikan sama ada dia menepati gambaran seorang individu yang disyaki melontar batu ke arah mereka.

Rina dan suaminya terdengar seorang anggota polis berkata bahawa anak lelaki mereka bukan suspek yang mereka cari namun mereka tetap mengheretnya masuk ke dalam kenderaan peronda.

Menurut keterangan bersumpah yang ditandangani oleh Rina di hadapan peguamnya, dia cuba menarik anak lelaki tetapi tidak berjaya.

Apabila Rina cuba bercakap dengan salah seorang anggota polis di dalam kenderaan peronda, dia menghentak buntut senapang pada kepalanya.

Dia kemudian pengsan dan dibawa ke hospital di mana dia menjalani pembedahan yang rumit untuk memasang kepingan besi pada tengkoraknya dan dia juga berkemungkinan besar perlu menjalani pembedahan plastik.

"Hidup saya musnah. Saya menderita akibat kesakitan pada kepada dan muka. Hidup saya telah menjadi satu mimpi ngeri," kata Rina.

Polis rejim Zionis Israel cuba mengelak daripada dipertanggungjawabkan dengan mendakwa bahawa bom api dan batu dilontar ke arah pasukan mereka di Issawiya ketika insiden berlaku dan Rina terkena batu yang dilontarkan itu.

Anak lelaki Rina dibebaskan empat hari kemudian tanpa dikenakan sebarang tuduhan terhadapnya.

Sehari selepas insiden tersebut, suami Rina menghubungi jabatan siasatan Kementerian Keadilan Israel untuk memfailkan aduan rasmi.

Walau bagaimanapun, mereka tidak menerima aduannya dan menyatakan hanya isterinya sahaja yang boleh memfailkan aduan.

Rina hadir ke jabatan berkenaan selepas keluar dari hospital namun kakitangan di sana enggan melayannya.

"Penyiasat sengaja menimbulkan kesulitan untuk saya menjelaskan apa yang berlaku. Dia bertanya tentang butiran terperinci mengenai askar tersebut dan menyuruh saya melukis gambar senapang berkenaan. Bagaimana saya boleh tahu perkara sebegitu?

"Dia cuba memaksa saya mereka-reka cerita kononnya saya dilontar batu malah dia cuba meyakinkan saya kononnya askar itu memukul saya secara tidak sengaja apabila dia mengangkat tangan yang memegang senapang untuk melindungi saya daripada terkena batu.

"Saya beritahu dia tiada sesiapa pun melontar batu di sana," jelas Rina dalam keterangan bersumpah itu.

Tidak lama selepas Haaretz bertanya tentang status kes itu, peguam Rina menerima jawapan daripada jabatan berkenaan yang menyatakan bahawa kes itu masih dalam siasatan.

Namun, beberapa jam kemudian, satu sumber lain memaklumkan kepada peguam tersebut bahawa siasatan kes itu masih belum dibuka.

Kementerian Keadilan Israel menafikan dakwaan Rina dan mendakwa mereka telah membuka fail kes sebaik sahaja suaminya datang membuat aduan.

Mereka juga berkata soal siasat yang dijalankan bertujuan mendapatkan maklumat lanjut tentang insiden itu dan bukannya mengganggu pengadu.

Polis rejim menegaskan kononnya pada hujung minggu ketika kejadian berlaku, sebanyak 24 bom api selain mercun dan bunga api di lontar kepada anggota-anggota mereka di lokasi terbabit sekali gus menyebabkan seorang penduduk tempatan cedera.

Sumber: Police officer fractures Jerusalemite woman's skull with rifle stock

Catat Ulasan

0 Ulasan