Sumber Pembelajaran Dalam Talian & Data 4G Percuma Melalui Inisiatif Learn From Home


Yayasan YTL dengan kerjasama YES dan FrogAsia melancarkan inisiatif Learn From Home bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran semua pelajar di sekolah bantuan kerajaan diteruskan semasa Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Melalui inisiatif itu,  semua murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah boleh mengakses FrogPlay Mobile iaitu aplikasi mudah alih yang diperkuatkan dengan kuiz semakan bagi setiap subjek teras yang diajar di sekolah kebangsaan dari tahun satu hingga tingkatan lima yang disusun oleh penerbit bahan pendidikan, Pelangi.

Untuk menyediakan akses dalam talian, ibu bapa boleh memohon sehingga lima kad SIM prabayar 4G percuma dari YES, satu kad SIM untuk setiap anak yang sedang bersekolah.

Setiap SIM dilengkapi pelan data 40GB yang sah selama 60 hari selepas pengaktifan dan akan dihantar ke rumah secara percuma.

Pengerusi Yayasan YTL, Tan Sri (Dr.) Francis Yeoh berkata, pihaknya sentiasa menyokong pelajar dan sekolah dalam usaha menjadikan bidang pendidikan lebih baik untuk semua.

"Pada masa ini, ketika negara menghadapi krisis yang belum pernah berlaku dalam usaha menyelamatkan rakyat daripada pandemik Covid-19, kami mahu memastikan bahawa semua kanak-kanak dapat meneruskan pembelajaran mereka di rumah.

"Sehubungan itu, kami menyediakan akses percuma kepada sumber-sumber pembelajaran dalam talian FrogAsia dan memberi data percuma melalui rangkaian mudah alih YES 4G.

"Harapan kami adalah semua kanak-kanak di negara ini sentiasa berada dalam keadaan selamat dan sentiasa belajar," jelasnya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua petugas-petugas barisan hadapan dalam perkhidmatan-perkhidmatan penting yang sanggup mengorbankan kepentingan diri sendiri bagi memastikan rakyat berada dalam keadaan selamat di rumah.

"Kami menghormati mereka dengan sepenuh hati kami. Semoga Tuhan memberkati dan melindungi seluruh rakyat di negara yang kita cintai ini," katanya.

Sila layari www.ytlfoundation.org/learn bagi mendaftar untuk FrogPlay Mobile dan memohon kad SIM 4G YES percuma.

Sumber pengajaran tambahan juga boleh didapati di halaman Learn From Home dalam laman sesawang Yayasan YTL.


Free Online Learning Resources and Mobile Data made available by a Collaboration between YTL Foundation, YTL Communications and FrogAsia

Catat Ulasan

0 Ulasan