Pendapatan pelaut Malaysia turut terjejas akibat COVID-19

Gambar: Pixabay / Pexels

Golongan pelaut turut terjejas dari segi pendapatan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan bagi mengekang pandemik COVID-19.

Berikut adalah kenyataan penuh daripada Moderator Komuniti Perkapalan Malaysia, Ahmad Badri Alwi:

1. Komuniti Perkapalan Malaysia menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri berkenaan penyambungan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

2. Walau bagaimanapun, Komuniti Perkapalan Malaysia ingin mengambil perhatian pihak berwajib termasuk kepimpinan negara berkenaan nasib pelaut-pelaut terutamanya Pelaut Malaysia yang 'terperangkap’ di kapal.

3. Sebagai salah satu komponen essential service, pelaut memastikan perkhidmatan pengangkutan laut terus berfungsi untuk menyokong rangkaian bekalan bagi memastikan barangan makanan, bahan api, ubat-ubatan dan pelbagai lagi barangan keperluan yang perlu diimport dari luar negara dapat tiba dengan selamat ke tanahair.

4. Mereka telah berkhidmat berminggu-minggu, malah berbulan-bulan lamanya dan kini terperangkap di atas kapal akibat sekatan bagi pertukaran anak kapal (crew change) di seluruh pelabuhan di Malaysia, dan di banyak lagi pelabuhan lain di seluruh dunia. Sekatan perjalanan darat dan udara pula menyebabkan anak kapal pengganti (relieving crew) tidak dapat menaiki kapal (sign on).

5. Di Malaysia, pergerakan pekerja pelantar minyak tidak terganggu tetapi pertukaran anak kapal offshore support vessel (OSV) yang beroperasi di tempat yang sama disekat hanya kerana perbezaan keperluan imigresen.

6. Oleh yang demikian, Komuniti Perkapalan Malaysia menyeru pihak yang berwajib agar melihat kembali kepada isu ini dan membuat keputusan yang sewajarnya. Perlu ada tindakan bagi jangka masa pendek, dan tindakan jangka masa panjang sekiranya PKP dan sekatan perjalanan dilanjutkan.

7. Majoriti pelaut tidak mendapat gaji bulanan sebaliknya hanya menerima gaji apabila masih lagi dalam kontrak pekerjaan di kapal. Apabila cukup tempoh, mereka akan bercuti untuk suatu tempoh yang agak panjang kerana sudah bertugas berbulan-bulan lamanya di kapal. Pelaut juga perlu menunggu tempat mereka dikosongkan di kapal untuk tujuan penggiliran kontrak.

8. Oleh yang demikian, ada pelaut yang sudah bercuti di darat sejak Disember 2019, dan dijadualkan bekerja semula pada Mac 2020. Namun, akibat PKP, mereka tidak dapat memulakan kerja.

9. Pekerja di darat yang diberhentikan kerja serta cukup syarat yang lain boleh memohon bantuan daripada PERKESO. Pelaut yang telah tamat kontrak adalah tidak layak untuk berbuat demikian.

10. Oleh itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia amnya, dan Jabatan Laut Malaysia khususnya, patut memberi bantuan yang sewajarnya kepada pelaut. Peruntukan boleh diperolehi daripada Kumpulan Wang Pusat Pengangkutan Laut (KWPPL) yang mana kumpulan wang berkenaan sememangnya berfungsi untuk membantu pelaut dalam pelbagai keadaan.

Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman, Fakta Yang Anda Patut Tahu

Soalan Lazim Asas Pengeluaran i-Lestari

Tak Perlu Datang Kaunter, Ada 3 Cara Mohon Pengeluaran i-Lestari KWSP

Terima Kasih PM, Pencarum KWSP Boleh Keluar Wang RM500 Sebulan Selama Setahun


Catat Ulasan

0 Ulasan