Gambar: Facebook Noh Omar |
Gangguan bekalan air yang melanda sebahagian besar kawasan di Lembah Klang hujung minggu lalu memang sangat menyusahkan rakyat.
Ramai yang mengeluh tentang kesulitan yang dihadapi untuk melakukan urusan seharian kerana ketiadaan air untuk membersihkan diri dan menyediakan makanan.
Memandangkan bekalan air terhenti secara tiba-tiba, sebahagian besar penduduk di Lembah Klang tidak mempunyai simpanan air yang mencukupi.
Akibatnya, mereka terpaksa membeli berbotol-botol air mineral, mencedok air dari kolam renang, membawa keluarga tidur di hotel malah ada juga yang balik kampung.
Begitulah gambaran kesulitan yang dialami penduduk Lembah Klang akibat gangguan air yang berpunca dari pencemaran di Sungai Gong, Rawang sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Sungai Panjang terpaksa dihenti tugas.
Masalah pencemaran air di sungai yang merupakan sumber bekalan air di Selangor bukan kali pertama berlaku.
Pada 27 Mac lalu, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas berikutan pencemaran minyak yang dikesan pada sumber air mentah.
Memang patut rakyat Selangor meluahkan kekesalan termasuk dalam media sosial memandangkan sudah dua kali gangguan bekalan air dialami mereka tahun ini akibat masalah yang disebabkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Lebih mengecewakan, situasi yang kurang menyenangkan itu pasti boleh dielakkan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas bagi memastikan masalah serupa tidak berulang.
Dalam insiden terbaharu, orang ramai mempersoalkan bagaimana premis industri boleh dibenarkan beroperasi berhampiran kawasan sungai yang menjadi sumber air mentah di Selangor.
Rakyat Selangor tertanya-tanya apa tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri dan PBT selama ini bagi memastikan kegiatan pencemaran sungai tidak berlaku.
Pemimpin-pemimpin negara turut menegaskan pandangan mereka agar hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap pihak yang didapati bersalah melakukan pencemaran terhadap sumber air mentah.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian berkenaan serta bertitah agar pihak yang disyaki terlibat menyebabkan pencemaran dibawa ke muka pengadilan dan jika didapati bersalah dikenakan tindakan tegas dan hukuman lebih berat.
Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu dalang di sebalik kegiatan yang mencemarkan sumber bekalan air disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga telah memberi jaminan bahawa undang-undang sedia ada akan dipinda bagi memastikan pesalah menerima hukuman setimpal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab yang menyusahkan berjuta-juta orang.
Dalam hal ini, kerajaan PH Selangor juga patut dihukum oleh rakyat kerana gagal menjaga kebajikan mereka dalam soal menjamin bekalan air bersih secara berterusan.
Hukuman yang paling wajar adalah dengan memastikan PH tidak lagi berkuasa di negeri termaju di Malaysia itu selepas pilihan raya akan datang.
Rakyat Selangor telah memberi peluang kepada mereka untuk memerintah Selangor selama tiga penggal dan sepanjang tempoh itu, terlalu kerap berlaku gangguan bekalan air akibat kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH ketika ini dan sebelum itu, Pakatan Rakyat.
Krisis gangguan bekalan terkini di Selangor sepatutnya membuka mata rakyat tentang kegagalan PH dalam menjaga kepentingan mereka.
Sudah tiba masanya rakyat Selangor memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) yang terbukti lebih prihatin terhadap permasalahan akar umbi untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu yang kerap berlaku sepanjang 12 tahun lalu.
(Artikel ini dipetik dari PN BBC Portal.)
0 Ulasan