Nak komen jelik tentang darurat? Baik lupakan saja



Kalau ada yang berniat nak tulis komen jelik dan yang bukan-bukan dalam media sosial sebab tak puas hati dengan pengisytiharan darurat, baik lupakan sahaja.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah pun mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang berbuat demikian.

Jangan sesekali tulis komen jelik membabitkan unsur 3R iaitu raja (royalty), agama (religion) dan kaum (race).

Kalau degil jugak, memang mendapatlah denda maksimum RM50,000 atau duduk termenung dalam penjara selama setahun atau dua-dua sekali pun boleh.

Kenyataan penuh SKMM seperti begini:

Berikutan perkembangan semasa berkaitan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perisytiharan Proklamasi Darurat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekali lagi ingin mengingatkan semua pihak, terutamanya pengguna media sosial, agar sentiasa menjaga kesopanan dan kesusilaan ketika memberikan pandangan dan membuat sebarang ulasan.

Pihak MCMC akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan yang bersifat jelik membabitkan unsur 3R iaitu raja (royalty), agama (religion) dan kaum (race).

Sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

MCMC ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dijalankan berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada secara telus demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

Laporkan insiden atau kandungan berunsur 3R di media sosial terus kepada MCMC melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-2206262 atau e-mel kepada mediasosial@mcmc.gov.my. Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/.

Nampaknya memang ada yang dah mula menyiarkan komen jelik dalam media sosial masing-masing seperti Facebook atau Twitter.

Yang sebar berita palsu pun ada jugak.

Entah apa masalah diaorang ni, mungkin dulu sekolah tak habis kot.

Sebab tu tak baca amaran yang dikeluarkan oleh SKMM ni.

Fikir masak-masak sebelum tulis benda-benda mengarut bang.

Nanti tak pasal-pasal kena denda dan masuk penjara, siapa jugak yang susah nanti?

Catat Ulasan

0 Ulasan