PPBM tumbuh dari benih yang tersisih dari pokok UMNO

Gambar: Facebook



UCAPAN DASAR

KETUA PUTERI UMNO MALAYSIA


PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PUTERI UMNO 2020



BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM


ASSALAMUALAIKUM W.B.T


YBhg. Saudari Nur Ain Bt A. Rahman

- Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri UMNO Malaysia


YBhg. Saudari Salbiah Bt Saari

- Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri UMNO Malaysia


YB. Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob


- Wakil Naib Presiden UMNO Malaysia


Wakil-wakil Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia

i) YB Datuk Suraya binti Yaacob

ii) YB Datuk Zahidi bin Zainul Abidin

iii) YB Dato’ Sri Hj. Tajuddin bin Abdul Rahman


YBhg Saudari Nurul Amal Bt Mohd Fauzi

- Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia


YBhg Saudari Asuma Beevi Bt Mohamed Sali

- Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia


YBhg Hajah Siti Hawa Bt Abu Hassan

- Penolong Bendahari Pergerakan Puteri UMNO Malaysia


YBhg Saudari Muzana Bt Mohamad

- Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia


YBhg Barisan Exco dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri-Negeri, tidak di lupakan rakan-rakan perwakilan yang menonton secara maya di negeri dan bahagian-bahagian seluruh negara.


Turut Dialukan Para Pemerhati, Dif-dif Jemputan & Rakan-Rakan Media Yang Dikasihi


Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian


Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan yang hadir ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO pada kali ini.


Perhimpunan kali ini ialah perhimpunan untuk tahun 2020. Sepatutnya diadakan pada tahun lepas. Namun kesulitan akibat wabak Covid-19 menghambat kita untuk menangguhkan Persidangan ini beberapa kali. Alhamdulillah, walaupun terdapat usaha pihak tertentu cuba mengharamkan UMNO, kita masih mampu berada di dewan ini untuk menyuarakan suara hati dan rintihan rakyat.


Hari ini juga menjadi hari yang bersejarah, format kita berbeza. Hanya sejumlah kecil berada di dewan ini, selebihnya berada di kawasan masing-masing. Kita patuh kepada peraturan. Kita tak mahu jadi penyumbang denda 10 Ribu Ringgit seorang kerana melanggar SOP. Kita tidak mahu dipanggil kluster kayangan yang berbeza dengan rakyat biasa sekiranya melakukan kesalahan.


Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian


Masa berlalu begitu pantas sekali. Sudah hampir 3 tahun kita melewati kekalahan kita sejak tahun 2018. Kita "move on" dan bangkit kembali. Masih teringat, dalam persidangan kita yang lalu, di Tahun 2019, kita begitu bersemangat mengkritik kerajaan Pakatan Harapan. Kita bercerita tentang pembohongan besar mereka. Kita berulang kali menyebut "salam 15 ribu", selepas kemenangan besar di Tanjung Piai. Semua itu adalah antara kenangan paling manis untuk kita semua.


Kerajaan Pakatan Harapan adalah Kerajaan Pakatan Kegagalan. Mereka kalah sebanyak 7 kali PRK berturut-turut. Seperti permaian bola sepak setelah kena 7 gol berturut-turut mereka menggelabah dan hilang pedoman. Dengan izin Allah, PH yang menjatuhkan kita telah menjatuh kan diri mereka sendiri selepas itu.


Kini telah genap setahun kejatuhan kerajaan PH. Terbentuk pula selepas itu kerajaan yang dipanggil Perikatan Nasional atau PN. Sebahagian pemimpin PN terdiri dari mereka yang menerajui PH dahulu. Ketika itu kita dituntut membuat keputusan drastik dan diluar dari perancangan asal kita. Ini termasuklah mengizinkan ahli-ahli parlimen kita, menarik nafas sejenak, menyokong kerajaan baru kepimpinan mereka.


Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian


Kita jelaskan dulu, sokongan parti kita sememangnya bersifat sementara. Hanya sementara untuk memberi kestabilan kepada negara akibat kemelut perletakan jawatan Perdana Menteri ke 7.


Lebih-lebih lagi ketika itu negara dan dunia baru dilanda wabak Covid-19. Perang melawan covid menuntut kita memberi kerjasama kepada kerajaan ketika itu sehinggalah hari ini. Kita sedar dan turut bertanggungjawab dalam memberi kestabilan ketika negara melawan Covid. Namun, kerjasama sewaktu perang sepatutnya berakhir sebaik sahaja perang reda.


Itulah yang ditegaskan sekali lagi oleh parti kita baru-baru ini. Hubungan kita dengan PPBM hanyalah sehingga Parlimen ini dibubarkan dan tiada sebarang kerjasama dengan PPBM pada PRU ke-15 nanti. Keputusan parti mesti dihormati. Prinsip parti menguasai kerajaan mesti kita pertahankan.


Kita turut bersetuju, sebahagian dari kita mengganggotai kabinet baru ini. Kita bangga, sewaktu perang melawan Covid, Menteri-menteri kita dari UMNO melaksanakan tugas mereka dengan berkesan. Dari penjagaan kesihatan, keselamatan hinggalah pengurusan vaksin. Kita ucapkan tahniah kepada Menteri-menteri kita itu. You are the Best!


Kita mahu mereka bukan sahaja terus menjadi penyumbang kepada negara, bahkan dinaikan ke martabat yang lebih tinggi. Syaratnya, kerajaan yang memerintah mestilah kerajaan yang diterajui oleh UMNO dan BARISAN NASIONAL. Kita tidak mahu sekadar berada di pentas yang sama tetapi hanya sebagai penyanyi latar. UMNO parti besar, mesti menjadi pemain utama dalam menentukan dasar dan masa depan negara.


Ini matlamat kita. ia adalah fundamental dalam hubungan parti kita dengan parti-parti lain, terutamanya dengan mereka yang sememangnya diasaskan untuk memusnahkan kita dulu. Yang merampas kerusi-kerusi kita. Yang kuasa diperolehi bukan melalui proses demokrasi yang betul tetapi dengan menerima mereka yang berpaling tadah. Mencuri pemimpin dan ahli-ahli kita dan terus berusaha mengambil penggerak akar umbi kita termasuk di kampung-kampung. Bagi kita, tindakan seperti itu bukanlah tindakan kawan tetapi itu adalah perangai lawan.


Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian


PPBM tumbuh dari benih yang tersisih dari pokok asal UMNO. Ia hidup hanya kerana mendapat baja dari DAP dan PKR. Sebab itu orang PPBM tulin tidak heboh pun pasal No DAP, No PKR, kerusi asal yang mereka menang pun atas ehsan DAP dan PKR. Bagi kita No DAP No PKR is ‘Done Deal’. Tak boleh dipertikaikan. Setuju 100%. Cuma kita hanya tambah satu lagi, No DAP, No PKR, dan NO PPBM. Sebab kita tahu tujuan asal PPBM memang untuk musnahkan kita. Cuma sekarang mereka sudah kehilangan baja dan sangat mengharapkan UMNO menjadi baja untuk mereka hidup dan subur kembali. Apakah kita perlu menjadi baja kepada pokok dedalu parasit, yang menumpang kita dan kita tahu pasti akan membunuh kita di masa depan? No PPBM, No DAP, No PKR.


Bagi kita politik dedalu adalah “scheme of things”, yang mereka sebut-sebut. Ini adalah doktrin dan ideologi mereka yang kita kena faham. Doktrin untuk membolehkan golongan minoriti menguasi golongan majoriti dan akhirnya membunuh golongan majoriti itu. Dedalu tidak hanya hinggap satu pokok, dia akan pergi ke mana-mana pokok dan akhirnya akan membunuh pokok asal itu.


Dulu, kita pernah dengar kata-kata Abraham Lincoln, " Democracy is government of the people, by the people, for the people". Demokrasi adalah pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Saya pernah dengar orang persendakan kata-kata ini, "government FOOL the people, (memperbodohkan rakyat), BUY the people (membeli rakyat) dan OFF the people, (menjauhi rakyat).


Adik-Adik Puteri yang Kak Ida Sayangi sekalian


Pada mulanya saya fikirkan apa yang diperkatakan itu berlaku di negara lain. Rupanya apa yang berlaku di negara kita hampir sama. Dulu kita dengar, himpunan Bersih 1, bersih 2, bersih 3 dan bersih 4, mengumpulkan beratus ribu orang ke jalan raya melaung tentang pilihan raya yang bersih dan demokrasi tulen. Bila menang pilihan raya sepatutnya buatlah kerja untuk rakyat tetapi sebaliknya tidak begitu. Bila kerajaan berubah di tahun 2018, kita lihat apa yang lebih penting untuk mereka ialah mengukuhkan kuasa orang yang sudah berkuasa. PPBM mengambil 15 kerusi yang kita menang untuk mengukuhkan kedudukan mereka di kalangan parti-parti Pakatan Harapan. Demokrasi lah sangat. Demokrasi apakah ini? Inilah permulaan "Scheme of Things" falsafah kuasa PPBM.


Trend beli belah kerusi bermula dari waktu itu sehinggalah sekarang. Inilah Demokrasi BUY The People, membeli wakil rakyat atas nama demokrasi. Kita tak dengar pun sebarang komen orang-orang BERSIH di atas trend yang berlaku ini? Apakah pemimpin BERSIH pun sedang tunggu untuk dibeli? Nampaknya himpunan beratus ribu orang hanyalah untuk fool the people. Hanyalah untuk memperbodoh rakyat. Selepas itu, mereka cari seribu alasan untuk mengenepikan rakyat.


Ada yang kata, lompat tidak salah. Ia tidak langgar undang-undang pun. Benar! sehingga sekarang belum ada undang-undang yang larang lompat parti. Tiada undang-undang bukan bererti itu benar. Tipu isteri pun tidak ada undang-undang, tapi tidak bermoral. Buang air besar depan orang ramai tak ada undang-undang, tapi tak betul. Berhutang tapi tak bayar hutang itu kerja kencing kawan yang susah diambil tindakan undang-undang tapi itu sangat tidak bermoral.


Benar, undang-undang tak boleh hukum mereka. Yang boleh hukum mereka ialah rakyat. Rakyat mesti sepakat mencemuh tindakan tidak bermoral mereka. Mengkhianati mandat rakyat adalah tidak bermoral. Membelakangkan kehendak rakyat adalah satu pengkianatan yang mesti ditentang.


Lompatlah sejauh mana. Peganglah jawatan setinggi mana, tetapi anda tetap tidak bermoral. Parti politik, bukan sekadar dilihat dari segi ideologi dan dasarnya semata-semata, tetapi juga himpunan pengikut dan pemimpinnya. Sekiranya di sana berhimpunnya ramai pengkhianat yang melompat ke sana ke sini, ia tak ubah seperti hanya kandang yang tak sesuai dihuni oleh mereka yang bermaruah.


Adik-adik Puteri yang Kak Ida Sayangi Sekalian


Sebab itu, sekiranya dalam parti kita, pemimpin di atas gagal menegur dan memperbaiki kejijikan ini, kita, anak muda akan bersuara lantang menegur mereka. Termasuk pemimpin kita sendiri. Kita tidak rela, orang yang pernah kita sanjung, kita angkat, dan, kita berkorban untuk mereka, bergantayangan, mengilai, mempersendakan parti kita apabila berada bersama di 'Kandang Pengkhianat'.


Kalau mereka menuding kita dengan macam-macam kluster, kita tuding pula mereka sebagai “Kluster Pengkhianat”.


Kita juga tidak mahu ada pemimpin kita berterusan bekerjasama dengan Kluster Pengkhianat. Apatah lagi menjadi “Gembala Politik” mengusung orang kita ke sana ke mari memberi makan dan minum bertujuan menggemukkannya dan akhirnya untuk disembelih menjadi makanan kepada tuan besar mereka dari ‘Kluster Pengkhianat’ itu.


Mari kita menzahirkan kesetiaan kepada parti dan idealisma perjuangan kita yang murni. Kita sepatutnya mengeluarkan air mata darah sedih melihat keadaan yang paling tidak menentu sejak 3 tahun UMNO hilang kuasa. Kita menuju kehancuran dan boleh menjadi negara gagal, “failed state”. Sebab itu kita mesti mengingatkan, siapakah yang dulunya membohongi rakyat untuk menjatuhkan kita. Ini termasuk janji-janji 100 hari pemimpin yang mabuk kuasa dulu. Mari kita ingatkan anak-anak muda kita untuk meneruskan tuntutan janji 100 hari mereka dulu. Menukar nama PH kepada PN tidak mensucikan mereka.


Di mana janji hapuskan tol dulu? Di mana janji hapuskan PTPTN dulu? Di mana janji pendidikan percuma dulu? Di mana janji hapuskan hutang Felda dulu? Bukankah ini VIRUS yang disuntik hingga menyebabkan kebencian rakyat terhadap kita dulu? Virus ini belum dihapuskan. Bahkan kita sama sekali tidak boleh bertindak menjadi vaksin supaya rakyat imune atau lali dengan mereka dan melupakan dosa-dosa mereka terhadap UMNO dan Barisan Nasional semasa PRU ke 14 dulu.


Bersedialah untuk berhadapan dengan dua front politik. Menentang PH yang bernama PH dan menentang PH 2.0 yang bernama PPBM. Kedua-dua mereka, kita minta rakyat sabitkan kesalahan di atas janji-janji palsu mereka dulu.


Adik-adik Puteri yang Kak Ida Sayangi Sekalian


Sebagai anggota dan penggerak parti, kita berhak mengingatkan ahli-ahli Parlimen kita yang masih tinggal bersama kita, bahawa mereka menang kerana parti. Kerana penat jerih kita dan pengorbanan kita semua untuk mereka pikul amanah mewakili parti kita. Kita mesti tuntut mereka untuk terus mainkan peranan, bertanya kepada kerajaan ini tentang tanggungjawab mereka sebagai kerajaan.


Apakah hanya dengan slogan kerajaan Melayu kita benarkan kerajaan ini menjadi kerajaan separuh masak? Kena tanya mereka apakah kerajaan Melayu PN ini lebih baik dari kerajaan Melayu BN dahulu? Kalau kerajaan PH pernah diibaratkan sebagai kerajaan "cap ayam", apakah kerajaan ini bukan "cap ayam"?


Apakah setelah BN dijatuhkan, mereka telah berjaya memberi jaminan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat? Benar, wabak covid memberi kesan kepada ekonomi kita dan ekonomi dunia, namun apakah prestasi kita lebih baik atau lebih buruk berbanding negara-negara lain.


Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian


Laporan Bank Dunia dan agensi kewangan antarabangsa baru-baru ini amat membimbangkan. Saat ini, ekonomi kita semakin meruncing. Pendapatan negara telah jatuh teruk dan pelaburan asing ke Malaysia jatuh ke paras paling corot di ASEAN. Bahkan banyak pelabur menutup operasi di negara kita dan lari ke negara-negara jiran. Walaupun di sana pun ada Covid, bahkan lebih teruk dari kita.


Larinya pelabur menyebabkan peningkatan pengangguran lebih 800 ribu orang dan majoritinya anak muda. Ringgit kita sukar bertahan. Sekali gus ia akan meningkatkan kos sara hidup rakyat.


Kalau trend ini berterusan, jangan pula 10 atau 20 tahun lagi, anak cucu kita pula akan merantau mencari kerja di negara jiran. Mungkin ketika itu di sana, susu dan madunya lebih manis dan enak. Dulu kita pernah digelar salah satu ‘asian tiger’ di rantau ini, apakah tiger itu sudah menjadi ‘kucing manja’ yang semakin tidak bermaya? Inilah bahana nya kalau kita dipimpin oleh orang yang tidak sepatutnya. Apakah ‘Asian Tiger’ akan menjadi ‘Asian Frog’ kerana yang jaga ekonomi kita bukan pakar ekonomi tetapi yang pakar lompat melompat.


Larinya pelabur kerana hilangnya kepercayaan dunia terhadap negara kita. Banyak keputusan flip flop semasa 22 bulan pemerintah PH dulu. Apakah kita ingat banyaknya projek U turn kerajaan dulu? Berapa keputusan dan perjanjian dengan kerajaan dan syarikat-syarikat asing dibatalkan hanya kerana ia dibuat oleh kerajaan BN? Berapa banyak angka-angka data kewangan negara yang dimanipulasikan hanya untuk membuat cerita tentang keburukan kita?


Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian


Hutang negara yang tak sampai 1 trilion semasa pemerintahan kita, tetapi mereka buat rekacipta seoalah-olah di bawah kita semuanya serba teruk. Kalau benar kita teruk sepatutnya Malaysia sudah lama bankrap. Namun Malaysia tak bankrap pun kerana kita.


Nisbah hutang kerajaan kepada KDNK sudah naik 62%, melepasi had 60% yang diluluskan parlimen pada Ogos tahun lalu, berbanding hanya 47% semasa zaman BN. Kantung Petronas terus dijarah, dividen Petronas kepada kerajaan dinaikkan ke RM34 bilion sewaktu Petronas mengalami kerugian disaat kejatuhan harga minyak dunia. Menjarah Petronas seperti membunuh angsa yang bertelur emas. Tamak untuk dapatkan laba segera kita bunuh pengeluar laba itu. Akhirnya tidak ada apa lagi yang tinggal untuk anak cucu kita.


Kita tak faham kenapa kerajaan perlu jual aset strategik negara? Kenapa kerajaan PN teruskan agenda penjualan aset negara Gagalkrasi PH? Khazanah Nasional telah menjual RM8 bilion aset miliknya. Petronas menjual lebih RM6 bilion kepentingan sahamnya, Permodalan Nasional Bhd (PNB) melupuskan dana unit amanahnya lebih 56%. Soalnya, kenapa aset-aset kepentingan Melayu dan Bumiputera yang dijual? Sepatutnya kekayaan dan aset rakyat yang dikumpul masa BN dipelihara dan ditambah.


Jadi, banyaknya bantuan-bantuan yang diumum dan diumum berkali-kali, bukanlah kerana kehebatan kerajaan mendapat punca-punca pendapatan baru. Ia hanyalah pemberian yang diperolehi melalui tambahan hutang yang berganda-ganda, menjarah kantung Petronas dan hasil penjualan aset-aset strategik negara yang dibina oleh Barisan Nasional dulu. Oleh itu, janganlah seronok sangat.


Saya ingatkan sekali lagi kejatuhan pertumbuhan ekonomi, hutang negara meningkat, penjualan asset negara, pengangguran besar. Ini adalah ciri-ciri awal ‘failed state’ dan ini menggerunkan.


Di mana menteri-menteri ekonomi kita dalam menangani kejatuhan yang berterusan ini? Di mana menteri ekonomi kita untuk menjawab tentang langkah-langkah baru menarik pelabur, meningkatkan nilai ringgit, mengurangkan beban hutang negara dan menyediakan peluang pekerjaan mencukupi kepada anak muda kita?


Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian


Pra syarat negara yang maju mesti diperkuatkan dengan sistem infrastruktur terbaik. Apakah rancangan infrastruktur moden kerajaan sekarang lebih baik dari rancangan kita dulu? Kita saksikan di lembah Klang MRT SATU siap. MRT DUA hampir siap, itupun orang dah berbunyi stesennya tak ada class, tak sehebat dengan stesen MRT zaman BN dulu. MRT TIGA dibatal. Pan Borneo tertangguh terutamanya di Sabah. ECRL untuk pantai Timur tergendala. Bandar Malaysia, tak jadi seperti yang dirancang. High speed Rail KL-Singapura pun dibatal. Dulu orang kita kagum dengan kepantasan keretapi laju Jepun dan sekarang yang terpantas adalah di China.


Kita difahamkan, negara jiran kita pula sedang rancak laksanakan projek keretapi lajunya. Mungkin satu masa nanti anak-anak kita kena pergi ke sana kalau nak rasa naik keretapi laju. Hakikatnya semua projek-projek ini bukan sekadar sedap merasa, indah mata memandang dan kesenangan untuk rakyat. Ia lebih dari itu. Projek mega adalah penjana pertumbuhan ekonomi negara. Terhentinya projek-projek ini maka banyak lah aktiviti ekonomi tergendala. Pekerjaan terencat dan segala limpahan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat juga terbantut. Ekonomi tanpa pertumbuhan akan menyebabkan rakyat berundur ke belakang dalam kesusahan.


Dulu kita dengar cerita kasut hitam, kereta terbang dan macam-macam lagi perkara pelik, menggambarkan kerajaan PH dahulu kerajaan syok sendiri. Kita puji menteri-menteri kita yang kompeten ketika berada dalam kerajaan. Tapi maaf kata, ada menteri-menteri kita yang dulu dilihat cerdik dan hebat ketika bersama BN tetapi setelah melompat ke PPBM mereka jadi kaku dan beku.


Kita juga berhadapan kehilangan keyakinan dunia terhadap system pendidikan kita. Apakah formula baru mereka untuk memperbaiki kekurangan yang ada? Terutama menyediakan generasi baru yang boleh bersaing dengan negara lain di zaman lima G dan revolusi industry 4.0 atau IR 4.0.


Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian


Ingatlah menjadikan negara ini maju dan berpendapatan tinggi banyak bergantung kepada sistem pendidikan kita. Mampukah kita mengeluarkan mereka yang boleh dipasarkan dalam pasaran pekerjaan yang berpendapatan tinggi?


Ini memerlukan fokus kerana tak mungkin kita mengharapkan pelaburan yang berimpak besar datang ke mari kalau rakyat kita tidak terdidik menjadi tenaga kerja mereka. Ini termasuk pendedahan kemahiran teknologi digital yang menyeluruh.


Oleh itu infrastruktur digital kita mestilah dipertingkatkan dan diperluaskan di seluruh negara. Jurang digital adalah isu yang serius kerana ia akan turut melebarkan jurang pendapatan rakyat negara ini.


Tahun ini adalah 'The Lost Year' dalam pendidikan kita. Anak-anak sekejap bersekolah, sekejap tidak bersekolah. Sekejap guna internet, sekejap tak guna internet. Dari anak, guru dan ibu bapa semua dalam keadaan yang kelam kabut. Keputusan flip flop memburukkan lagi keadaan. Kemanakah hala tuju sistem pendidikan kita?


Kita juga harus bertanya apakah rancangan kerajaan ini untuk meningkatkan taraf wanita atau menyelesaikan isu-isu berkaitan keganasan rumah tangga dan diskriminasi terhadap kaum hawa? Ingatlah, dalam situasi kemelesetan, banyak rumahtangga bergolak. Wanitalah yang menjadi mangsa paling teruk. Siapa yang boleh memberi perangkaan, berapa banyak perceraian yang berlaku? Dan berapa ramai wanita yang hilang pekerjaan? Apa pula program membantu usahawan nita yang terkesan akibat bencana Covid? Siapa yang dapat huraikan kemurungan yang tak dicanangkan yang dialami oleh ramai ibu-ibu yang menyarakan anaknya dalam keadaan serba susah sekarang ini?


Malaysia adalah negara yang rendah penglibatan wanita dalam pasaran pekerjaan. Kita sekadar 51 peratus berbanding Thailand dan Vietnam yang jauh lebih tinggi. Perlu ada langkah segera diambil bagi membolehkan lebih ramai wanita berkerja. Wanita dalam dilema, antara memperolehi pendapatan yang tinggi dan menguruskan keluarga.


Ya, ramai antara kita sudah berpendidikan tinggi dan mampu mencari kerja sendiri. Bila berumahtangga semuanya berakhir. Pengorbanan terpaksa dilakukan. Pembantu rumah akan menjadi semakin sukar. Jadi antara cadangan kita ialah memandatorikan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di semua tempat yang menjadi tumpuan pekerjaan. Kita mahu di masa depan profesion penjagaan kanak-kanak menjadi profesion mulia dan sangat penting dalam penjanaan pertumbuhan ekonomi negara.


Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengukur kemajuan sesebuah negara bukan hanya berasaskan kepada pembangunan fizikal dan angka-angka KDNKnya semata mata. Mereka turut mengukur tahap kegembiraan rakyat berdasarkan tahap emosi negative dan positif mereka. Apa makna lebuhraya lebar dan banyaknya bangunan pencakar langit jika rakyat hidup dalam kesedihan dan kemurungan?


Sebab itu ada indeks Kebahagiaan Dunia (World Happiness Index) di bawah PBB. Laporan terakhir pada tahun ini menunjukkan ranking kita jatuh ke tangga 81 dunia.


Ini sangat berbeza ketika negara berada di bawah kerajaan BN dulu. Sehingga tahun 2018 kita berada di tangga ke 35 dunia. Sejak itu ia terus merudum ke bawah sebanyak 46 anak tangga.


Ini fakta penting. Bukan saya kata, bukan Umno kata, tetapi Bangsa-Bangsa Bersatu yang kata. Rakyat Malaysia lebih happy di bawah Barisan Nasional. Kalau kita tanya adakah menteri-menteri kita ‘kesah’ rakyat happy ataupun tidak? Atau mereka tak kesah asalkan mereka saja yang happy? Bagi kita yang lebih penting adalah semua rakyat happy, mari kita kembalikan zaman Barisan Nasional. Kegembiraan pasti terjamin.


Adik-Adik Puteri yang Kak Ida Sayangi sekalian


Apa perancangan kerajaan untuk memperbaiki keadaan ini? Siapakah yang dapat menghuraikan masalah kemurungan yang bertambah dihadapi oleh rakyat. Segeralah mencari solusi untuk menyelamatkan rakyat daripada terus dibelenggu keresahan dan kegelisahan. Hilang kerja dan dibelit hutang adalah antara punca kemurungan. Sebab itulah, kita berjuang untuk rakyat keluarkan wang mereka sendiri dalam tabung KWSP sehingga 10,000 ringgit. Harapan kita ia dapat sedikit membantu mereka yang susah. Bank-bank pula janganlah kedekut sangat waktu susah untuk berkongsi beban hutang rakyat dengan mereka.


Kita turut ingin tahu, apakah gantian mereka terhadap program ekonomi rakyat yang pernah kita anjurkan dalam bentuk jangka pendek dan panjang dulu? Apakah mereka ada rancangan lebih baik dari BRIM? Bantuan nelayan, bantuan pertanian dan pekebun kecil yang pernah dibuat oleh BN dulu?


Apakah bentuk jaringan keselamatan sosial terhadap mereka yang kehilangan pekerjaan, yang ditimpa kesusahan akibat penutupan ekonomi semasa Covid? Kemana perginya UTC dan RTC? Kalau klinik Satu Malaysia ditutup apakah mereka ada rancangan yang lebih baik daripada itu untuk membantu rakyat? Baucer buku 250 Ringgit mungkin kecil di mata kerajaan hari ini tetapi sangat besar dikalangan mahasiswa yang memerlukan.


Adik-Adik Puteri yang Kak Ida Sayangi sekalian


Kini jumlah kabinet yang terdiri dari menteri dan timbalan menteri paling besar dalam sejarah. Namun rakyat hendak tahu apakah jumlah yang sebegini besar lebih menjana penghasilan yang lebih besar? Sila tunjukkan “report card” -kad kemajuan anda. Apakah kemajuan hanya dinilai berdasarkan berapa banyak pengumuman yang dibuat?


Sebelum ini BN meletakan tahap "gold standard" dalam pelbagai ranking dunia. Kita pernah mendapat ranking terbaik sebagai destinasi pelaburan asing dunia. antara sepuluh negara ekonomi paling pesat berkembang di dunia dan banyak lagi.


Apakah ranking PN lebih hebat dari ranking BN? Apakah kita hanya berpuas hati hanya sekadar mendapat faedah peribadi setelah mendapat jawatan tetapi rakyat mencemuh kita kerana gagal memberi sesuatu yang lebih baik kepada rakyat?


Perhimpunan Agung UMNO bukan Parlimen. Namun Perhimpunan Agung UMNO ini mesti berperanan sebagai Parlimen rakyat kerana Parlimen sudah digantung fungsinya.


Sebab itu kita perlu bertanya, apa rasionalnya ahli-ahli parlimen diberi elaun yang besar tetapi Parlimen tidak boleh berfungsi? Kalau ahli-ahli Parlimen sudah diberi keutamaan untuk divaksinkan, kenapa tidak Parlimen diberi keutamaan untuk dibuka semula? Kita hanya diberitahu melalui data dan sains oleh Menteri PN. Kita tidak boleh bersidang kerana parlimen terdiri dari kalangan ramai orang tua. Kalau itulah alasannya maka sudah tiba masanya orang muda yang ada dalam dewan ini menggantikan mereka. ini bukan saya kata ini data dan sains Menteri PN yang kata.


Malu kita sebagai orang politik, bekerja untuk memenangkan wakil kita ke Parlimen tetapi parlimen hanya tinggal menjadi gudang kosong.


Malu kita apabila pasar malam dan bazar ramadhan dah boleh berniaga. Malu kita, apabila diberitahu casino dan tempat tikam ekor pun di buka. Rumah urut pun boleh mengurut. Tetapi kenapa Parlimen tidak boleh? Parlimen adalah tempat di mana proses "check and balance" - semak imbang yang sangat penting dalam perjalanan sesebuah kerajaan.


Kini, demokrasi kita dimomokan kerana keengganan kerajaan membenarkan Parlimen berfungsi atas alasan yang dangkal. Apatah lagi, Ke Bawah Duli Yang Di Pertuan Agong sendiri pun sudah menitahkan ia harus berfungsi. Daulat Tuanku!


Adik-Adik Puteri yang Kak Ida Sayangi sekalian


Tanpa Parlimen, undang-undang boleh dibuat tanpa dibahas. Siapa boleh setuju undang-undang kompaun 10 Ribu Ringgit boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa bahas? Siapakah yang setuju undang-undang kompaun 100 Ribu kerana mempersoalkan darurat boleh diluluskan tanpa bahas? Selepas ini lebih banyak undang-undang di buat tanpa bahas. Sebab itu kita malu apabila murid dan guru yang belum divaksin pun diminta ke sekolah, tetapi parlimen terus ditutup. Rentas negeri tak boleh. Rentas parti boleh pulak!


Kita SOKONG VAKSIN. Kita bukan anti vaksin. Bahkan kita dan pergerakan Pemuda UMNO turut bersama menjalankan kempen Jom Daftar Vaksin di seluruh negara. Kita menganggap Vaksin adalah ekonomi. Menyegerakan vaksin menyegerakan pemulihan ekonomi. Vaksin juga demokrasi. Menyegerakan vaksin akan menyegerakan demokrasi berperanan kembali. Namun kita lihat kerajaan seolahnya menggunakan Covid sebagai perisai untuk melindungi mereka yang hilang majoriti untuk terus berkuasa.


Sebab itu, perlaksanaan vaksinasi perlu disegerakan. Termasuklah mempertimbangkan kaedah yang lebih menyeluruh, seperti melibatkan semua klinik-klinik swasta untuk membantu perlaksanaanya seberapa segera. Kita hargai vaksin yang akan diperolehi secara percuma oleh rakyat. Ini pun dibuat di negara-negara lain. Namun kita percaya ada rakyat yang sanggup membayar sedikit kos perkhidmatan kepada klinik atau hospital swasta untuk mereka divaksinasi seberapa segera. Sekaligus ia mengurangkan bebanan hospital kerajaan. Bagi kita paling penting ekonomi dan demokrasi mestilah dipulihkan seberapa segera.Tidak ada alasan lagi.


Adik-Adik Puteri yang Kak Ida Sayangi sekalian


Kita hendaklah sentiasa sedar dan memerhati apakah pandangan orang terhadap kita terutama dikalangan netizen sekarang. Jangan ulangi kesilapan kita dulu dengan meremehkan sentimen netizen. Sebab itu kita bimbang, kalau kita dikaitkan dengan kerajaan yang tidak popular, kita pun tidak popular. Kaji selidik Sinar Harian bersama Sin Chew Daily mendapati 61% sangat tidak puas hati dengan prestasi kerajaan PN. Kajian Emir Research dan Utusan Malaysia, majoriti responden menyatakan kerajaan ini semakin tidak popular.


Bahkan nama-nama parti yang menjadi tunggak pemerintahan sekarang pun semakin tak popular. Personaliti pemimpin kerajaan sekarang pun tidak popular. “Menumpang biarlah pada yang kuat, jangan menumpang kepada yang membawa rebah”.


Jadi sebab itu sempena dengan Perhimpunan Agung kali ini kita meminta parti untuk mengkaji semula keputusan yang dibuat untuk bersama dengan kerajaan sehingga parlimen dibubar ATAU TIDAK LAGI BERSAMA KERAJAAN DENGAN SEBERAPA SEGERA. Kita tidak tahu bilakah parlimen akan dibubar. Tak mustahil keadaan seperti ini akan diheret sehingga tahun 2023 dan lebih banyak kerosakkan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat dan kita terpaksa pikul beban bersama. Kesian Menteri-menteri kita, mereka terpaksa menjawab banyak keputusan-keputusan yang tidak popular dan mengarut oleh kepimpinan kerajaan.


Kita menyokong kerajaan yang bebas rasuah dan berintegriti. Dulu kita dijatuhkan kerana kuatnya kempen anti rasuah yang ditujukan kepada kita. Kita mahu kerajaan baru ini lebih baik dari kita dan mengemukakan semua langkah menjadikan kerajaan ini lebih berintegriti dan bebas rasuah.


Bawah PH, pengakuan bekas Peguam Negara menunjukkan ada beberapa agensi telah digunakan sebagai instrumen untuk menekan dan menakutkan musuh politik mereka. Sebab itu kita tuntut supaya Suruhanjaya diRaja (RCI) segera ditubuhkan bagi menyiasat pendedahan bekas Peguam Negara.


Apakah benar pejabat Peguam Negara menjadi pejabat gestapo menggunakan instrumen undang-undang? Apakah benar agensi seperti SPRM dan LHDN dalam menekan dan menindas musuh-musuh politik kerajaan kepimpinan PM ke 7 dan diteruskan oleh PM ke 8 hari ini? Kerja gestapo adalah mencari jalan menghukum musuh-musuhnya, kerja gestapo juga mencari jalan mensucikan sekutunya walaupun melakukan kesalahan.


Kita juga ingin tahu, Apakah jual beli kerusi itu, adalah sebahagian dari menjadikan kerajaan ini lebih bebas rasuah atau ia adalah sebahagian dari petanda rasuah sedang berleluasa? Kalau Covid perlukan swab test. Buatlah swab test rasuah di kalangan mereka yang melompat dan akan melompat lagi selepas ini?


Hilangnya perasaan malu dan segan terhadap pengundi mereka, adalah ciri awal rasuah. Sama seperti hilangnya deria bau dan rasa yang menjadi petanda awal pengidap Covid. Sepatutnya yang lompat parti ini patut dikuarantin dan disiasat semua tingkah laku dan perbuatan mereka. Apakah di sana terdapat unsur rasuah sehingga mereka sanggup mengkhianati mandat pengundi terhadap mereka.


Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian


Pimpinan melalui teladan. Pemimpin khianat akan melahirkan lebih ramai pengikut yang khianat. Tidak ada vaksin untuk pengkhianatan. Pengkhianatan adalah penyakit yang tidak boleh diubat. Kerajaan yang diterajui oleh ramai pengkhianat akan meneruskan pengkhianatan dalam apa jua bentuk di masa depan. Termasuk terhadap rakyat, harta dan keselamatan negara ini. Bagi pengkhianat, maruah tidak penting. Apa pun boleh selagi ada yang mahu memberi.


Orang muda muak dengan permainan politik hari ini. Pergerakan Puteri mesti dilihat sebagai wadah perjuangan anak muda seluruh negara. Kita bukan sekadar dilihat sebagai pembantu parti untuk memenangi pilihanraya. Jauh sekali mengharapkan habuan kerana menjadi sebahagian dari tampuk kekuasaan. Hanya yang hidup di zaman lampau, takut pada perubahan, “those who live in the past resist change”.


Kita mesti menjadi agen pemodenan pandangan politik baru tanpa melupakan akar umbi kita. Kita juga mesti menjadi inspirasi anak muda untuk melihat negara ini diperintah berasaskan prinsip demokrasi yang murni. Melaksanakan tanggungjawab memajukan negara ini berasaskan keadilan tanpa mengira kaum, darjat dan daerah.


Sebagai parti orang Melayu, kita tidak lupa pada akar kita, untuk terus berjuang membela nasib orang Melayu. Membina negara bangsa Malaysia berteraskan asas budaya Bahasa dan Agama kaum asal negara ini.


Dalam menangani masa depan. Kita mendokong perubahan yang berlaku bagi meletakkan peranan besar orang muda dalam mencorakan masa depan negara. Ini termasuk undi 18 dan pendaftaran automatik untuk mereka. Tidak ada pandang belakang atas keputusan yang telah dibuat.


Tidak ada alasan untuk melengahkan perlaksanaanya. Jika ada yang berkata mereka tidak cukup matang untuk memikul tanggungjawab ini, maka kita tuntut kerajaan segera melaksanakan langkah drastik untuk mematangkan mereka dalam tempoh yang terdekat. “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.


Ini termasuk memasukan sukatan apresiasi demokrasi seawal usia 16 tahun. Mereka harus diajar tentang pentingnya mengundi dan mengenal apa yang dimaksudkan kerajaan yang baik. Apa itu parlimen dan tanggungjawabnya.


Mereka mesti dididik untuk menilai tentang menjadi ahli parlimen atau wakil rakyat yang baik. Mampu berhujah dengan tertib dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab di tempat masing-masing. Anak muda tidak boleh terima bagaimana rakyat memilih wakil rakyat yang mewakili mereka tetapi apabila sudah menang senang lenang bercuti berbulan-bulan di luar negara.


Di bawah BN, cerita seperti ini tidak pernah kita dengar. Hanya di bawah PN sahaja ia boleh berlaku. Inilah bukti kerajaan ini adalah kerajaan paling lemah dalam

sejarah. Mereka tidak berani berbuat apa-apa terhadap orang parti mereka yang lari dari tanggungjawab sebagai ahli parlimen. Tidak pernah dalam sejarah seorang timbalan menteri boleh menjadikan sebuah kerajaan sebagai tawanan politiknya kerana hanya satu kerusi yang dimiliki boleh mengugut kedudukan mereka yang berkuasa.


Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian


Anak muda juga mesti dididik bagaimana kerajaan yang baik itu mesti mampu melaksanakan janji-janjinya. Setiap janji mesti dikemukakan dengan cara pelaksanaanya. Anak muda mesti diajar membezakan apa itu politik populis dengan politik bertanggungjawab. Zaman ‘beri aku kuasa dahulu, dan tahulah apa yang akan aku lakukan’ sudah berakhir. Anak-anak ini mesti dididik tentang bahayanya “Politik Khianat” dan “Politik Dedalu”.


Bersedialah untuk hadapi PRU. Kita tidak tahu bila PRU akan diadakan tapi kita mesti bersedia. Tanggungjawab Puteri mengendalikan sistem maklumat data pengundi kita. Kita juga diamanahkan untuk mengendalikan penyelidikan bagi memahami sentimen dan perilaku pengundi. Kita laksanakan tanggungjawab ini sebagai amanah besar untuk parti dan negara.


Jangan risau sekiranya ada orang berkata kita tidak boleh memenangi hati pengundi sekiranya kita bukan kerajaan. Formula ini dah tak boleh pakai lagi. Ingatlah dulu pun kita dalam kerajaan kita tidak menang. Dulu pun sewaktu berkuasa kita kalah. Tapi ingat dalam 7 PRK yang lepas walaupun kita bukan kerjaan kita boleh menang dengan cemerlang.


Zaman sudah berubah, menjadi kerajaan tidak menjamin kemenangan. Dulu kelebihan menjadi kerajaan ialah penguasaan media massa dan instrumen pemberi maklumat kerana orang hanya bergantung kepada TV1, TV2, TV3 dan radio serta akhbar yang dikuasai oleh kerajaan. Itu zaman dua G, zaman wayang pacak, zaman camera pakai Kodak, zaman orang naik bas mini. Zaman apa kerajaan buat, semua dilihat betul.


Ini zaman lima G laaa, zaman Foodpanda, zaman netflix, zaman spotify. Tape recorder dah tak ada lagi, nak cari CD pun susah. Orang boleh buat Facebook Live sendiri. Setiap orang boleh jadi penyiarnya sendiri. Boleh buat studio untuk dia jadi pengacara dan menentukan siapa tetamunya sendiri. Tak perlu lesen pun. Kerajaan dah tak boleh kawal atau pun tapis. Orang sudah tidak baca akhbar dan tonton TV untuk dapat maklumat. Maklumat diperolehi secara real time melalui pelbagai peranti atau device di tapak tangan masing-masing.


Beza kerajaan dan bukan kerajaan sudah terlalu tipis, senipis kulit bawang. Kalau kita semua tahu menggunakan segala teknologi dan peralatan yang ada di tangan kita sendiri. Kita tidak akan takut walaupun kita tidak berada dalam kerajaan. Kita boleh menang dan bentuk kerajaan baru. Puteri mesti berada di barisan paling depan dalam menggunakan semua senjata baru ini.


Namun kita perlu berwaspada mungkin ada musang berbulu ayam di kalangan kita. sel kanser bermula dengan satu titik, kalau tidak dirawat awal barah menjadi parah. Mungkin rawatan kemoterapi diperlukan atau pun potong buang terus bahagian terlibat.


Harus berani mengambil tindakan tegas, jika tidak ia akan merebak memudaratkan dan membawa maut kepada kita. Awas! Ular tetap ular, bersalinlah kulit berkali kali pun ia tetap ular. Puteri ingatlah kita, Puteri dianggap paling mudah menjadi mangsa untuk dibelit dan ditelan ular-ular ini hidup-hidup. Sebab itu kita mendesak parti mengenal pasti siapakah ular-ular ini dan kita eksport mereka ke sebelah sana. Biar lah ular ini belit dan telan orang di sebelah sana pula.


Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian


Tangungjawab kita Pergerakan Puteri Umno ialah untuk terus memupuk nilai-nilai politik yang murni. Membina kepimpinan di kalangan kita. Kukuhkan perpaduan kita. Sama ada kita bersama MN ataupun terus berdiri sendiri. Manusia boleh merancang akhirnya Tuhan menentukan. Rakyat pintar untuk menilai dan memilih.


Terpulang pada kita untuk meyakinkan rakyat tentang apa yang telah kita lakukan dan apa yang akan kita lakukan untuk mereka. Bersama dengan parti keramat ini

untuk kita bina “Avatar Baru” bertunjangkan keikhlasan kita untuk agama, bangsa dan negara.


UMNO tidak boleh dilihat bermasalah, kerana UMNO sepatutnya menjadi penyelesai kepada masalah. Kita mesti yakinkan rakyat pelaburan besar untuk masa depan negara ialah mempastikan UMNO Kembali menjadi tunggak kerajaan. Kita pernah buktikan dan kita akan terus membuktikannya lagi. Kita terus menjadi agen perubahan dalam masyarakat. Dalam masa yang sama kita terus prihatin terhadap mereka yang memerlukan.


Adik-Adik Kak Ida yang disayangi sekalian.


Kak Ida mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih, kepada semua rakan-rakan, yang bersama Kak Ida dalam kerja-kerja amal. Termasuklah membantu mangsa-mangsa banjir dan menyantuni mereka yang terkesan akibat wabak Covid di seluruh negara. Terima kasih Puteri Pahang, Terima kasih Puteri Johor, terima Kasih Puteri Perak yang membantu misi banjir baru-baru ini. Terima kasih Puteri Penang, Terima kasih Puteri Melaka, terima kasih Kelantan yang bersama Kak Ida mendekati mahasiswa di negeri masing-masing. Terima kasih Puteri Kedah, Terima kasih Puteri Selangor, Terima kasih Puteri Wilayah, Terima Kasih Puteri Negeri Sembilan, Terima Kasih Puteri Perlis dan terima kasih Puteri Terengganu yang bersama-sama Puteri Malaysia mendekati rakyat semasa pandemik Covid tempohari. Terima kasih Puteri Sabah dan seluruh Puteri dari Semenanjung yang turut bersama-sama berjuang di PRN Sabah. Kak ida sayang semua…. I love u all.


Inilah Pergerakan Puteri, kita tidak menuntut untuk memegang apa-apa jawatan kerajaan atau GLC. Namun kehadiran kita dirasai di mana-mana. Kerana inilah Umno. Kita akan terus bersama Presiden dan Parti yang bergerak dan berjasa bukan hanya ketika berkuasa. Tanpa kuasa pun kita di mana-mana. Semuanya atas keikhlasan dan tanggungjawab, atas cinta kepada negara dan bangsa.


Pergerakan Puteri akan terus bersuara lantang demi survival UMNO. Kita perlu sedar dulu mereka hina UMNO, tapi sekarang harap UMNO bersama mereka. Mereka kata UMNO sudah rosak, tapi sekarang mereka terhegeh-hegeh dan menagih sokongan UMNO.


Kita tidak perlu pening-pening nak melayan karenah mereka. Fokus kita, terus perkuatkan parti, terus tarik sokongan atas pagar, anak muda jangan dilupakan, kita betulkan persepsi negatif netizen kepada UMNO, paling penting agenda bantu rakyat, santuni rakyat, faham denyut nadi rakyat, itu yang kita utamakan. Sampai masa kita rentap, singsing lengan mara ke gelanggang. Biar rakyat tentukan logo mana menjadi pilihan.


Apa guna kepuk di ladang,

Kalau tidak berisi padi,

Apa guna Puteri Berjuang,

Kalau tidak berani mati.


AYUH PUTERI KITA REMPUH HABIS HABISAN! PUTERI !!! REMPUH !!!

PUTERI !!! REMPUH !!! PUTERI !!! REMPUH !!!


Wabillahitaufik Walhidayah


Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Catat Ulasan

0 Ulasan