Faizal Azumu sangat salah - Kit Siang

 

Gambar: Facebook Lim Kit Siang

Ahmad Faizal Azumu sangat salah.

Presiden PAS, Hadi Awang, tidak ada sebarang sebab atas kegagalannya untuk membuktikan tuduhan liar dan tidak masuk akal yang dibuatnya terhadap DAP dan saya selama enam bulan yang lepas.

Berapa lama lagi yang diperlukan Hadi Awang untuk memberikan bukti untuk tuduhan-tuduhan liar dan tidak masuk akalnya ini?

Adakah mana-mana pemimpin Islam yang bertanggungjawab, jujur, dan dihormati sama ada dalam sejarah atau di mana-mana di dunia yang gagal untuk memberikan bukti terhadap tuduhan yang dibuatnya sehingga enam bulan lamanya?

Adakah saya seorang yang anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia ketika dia mendekati saya pada tahun 2014 bersama dengan pemimpin PAS yang lain untuk mencadangkan supaya Pakatan Rakyat menggantikan calon Perdana Menteri dari Anwar Ibrahim kepada Tengku Razaleigh, walaupun Tengku Razaleigh tidak berada dalam Pakatan Rakyat ketika itu?

Sekiranya saya bersetuju ketika itu, atau lebih baik lagi, mencadangkan Hadi untuk menjadi calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat, adakah Hadi akan mengangkat saya sebagai seorang pejuang Islam yang hebat di Malaysia?

Adakah saya menjadi seorang yang anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia ketika Muhyiddin Yassin berjumpa dengan saya dengan muslihat di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada tahun 2016 untuk mendapat sokongan DAP untuk menjadikannya Perdana Menteri — cadangan yang saya telah tolak kerana DAP komited menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri?

Adakah saya menjadi seorang yang anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia kerana DAP dan saya tidak bersetuju untuk menamakan Hadi sebagai calon Perdana Menteri pada tahun 2014 atau kerana tidak bersetuju untuk menamakan Muhyiddin untuk menjadi calon Perdana Menteri pada tahun 2016?

Ini bukan kali pertama saya bercakap mengenai perjumpaan saya dengan Hadi pada tahun 2014 dan pertemuan saya dengan Muhyiddin pada tahun 2016, dan kedua-dua mereka tidak menafikan apa-apa mengenai pertemuan ini.

Bolehkah Hadi jelaskan, mengapa dia sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah untuk dua orang Perdana Menteri dari tahun 2020 hingga 2022, gagal untuk membuat laporan mengenai Islamofobia dalam badan tertinggi masyarakat Malaysia — Parlimen — kepada Badan Pemerhati Islamofobia Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)?

Bolehkah Hadi jelaskan mengapa dia tidak pernah mengulangi tuduhan liar dan tidak masuk akalnya terhadap DAP ini di Parlimen?

Adakah Hadi kini akan membuat laporan yang kononnya DAP mempromosikan Islamofobia dengan Badan Pemerhati Islamofobia OIC?

Dalam titah terbaharu Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong semasa sambutan minggu perpaduan kebangsaan di Kuching beberapa hari yang lepas, baginda telah melewati tema kepentingan perpaduan negara sebagai aset utama masa hadapan negara.

Perkara ini telah menjadi tema baginda sejak Pilihan Raya Umum ke-15 yang berlangsung enam bulan lepas, tetapi, para pemimpin PAS sedang melakukan perkara yang bertentangan — dengan menggunakan penipuan, fitnah, dan berita palsu untuk mempolarisasi persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama di Malaysia.

Nasib baik, polarisasi di Malaysia belum mencapai peringkat melampau seperti di negara lain.

Menurun Laporan Barometer Kepercayaan Global Edelman 2023, Malaysia tidak berada dalam kategori terburuk enam negara yang “amat terpolarisasi”, atau dalam kategori kedua dengan sembilan negara yang “berada dalam bahaya polarisasi teruk” mahupun kategori ketiga sebagai salah satu dari enam negara yang “amat berpecah belah”.

Sebaliknya, Malaysia berada dalam kategori keempat yang terbaik — “kurang terpolarisasi” — dengan hanya sedikit perpecahan, bersama-sama dengan negara seperti Singapura, Indonesia, Arab Saudi, UAE, China, dan India.

Kita tidak boleh membiarkan pemimpin yang tidak bertanggungjawab seperti Hadi untuk menjunamkan Malaysia ke dalam tiga lagi kategori yang buruk ini di mana polarisasi menjadi sangat teruk bersama dengan perpecahan yang tersemat dalam hati masyarakat.

Kerana inilah kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin seperti Hadi kerana kenyataan tidak bertanggungjawabnya ini dibuat dengan tujuan untuk mengganggu dan mempolarisasi keamanan dan toleransi antara kaum dan agama di Malaysia.

Saya tidak terkejut yang Hadi tidak menyokong matlamat DAP untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia kerana dia akan terpaksa berhenti menggunakan penipuan, fitnah, dan berita palsu.

Malaysia perlu menetapkan semula dan kembali ke prinsip asal pembinaan negara bangsa untuk menjadi sebuah Malaysia yang majmuk dan untuk menghapuskan rasuah, kemiskinan, dan kezaliman supaya kita dapat menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia yang disegani dunia dan bukannya menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik.

Kita perlu berikan pendidikan yang baik kepada generasi-generasi muda rakyat Malaysia supaya mereka mampu bersaing di peringkat dunia.

Inilah tugas yang digalas oleh generasi hari ini.

Persoalannya adalah sama ada generasi hari ini boleh melihat menembusi kabus penipuan, fitnah, dan berita palsu ini untuk mengejar kebenaran dan misi yang lebih besar untuk negara.

(Kenyataan media veteran DAP Lim Kit Siang di Pulau Pinang, pada hari Jumaat, 26 Mei 2023)

Catat Ulasan

0 Ulasan