Gambar: Facebook Hamzah Zainudin |
Pengesahan oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said bahawa tiada satu pun parti dalam Perikatan Nasional mendapat sumbangan daripada dana judi dalam PRU-15 membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim telah melakukan fitnah.
2. Jawapan bertulis YB Dato’ Sri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat, bertarikh 25 Mei 2023 itu juga secara terang lagi bersuluh mengesahkan bahawa tuduhan Anwar Ibrahim ke atas Perikatan Nasional pada 5 Disember 2022 dan diulanginya pada 6 Disember 2022 adalah rekaan serta pembohongan semata-mata.
3. Sama sebagaimana beliau tanpa rasa bersalah membohongi rakyat dengan pelbagai janji yang tidak ditunaikan seperti janji turun harga minyak, janji selesaikan kos sara hidup, janji menentang nepotisme, dan janji perangi rasuah tetapi melantik Timbalan Perdana Menteri yang terbukti terdapat prima facie dan sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan di mahkamah.
4. Kezaliman Anwar Ibrahim ini perlu dihukum secara total oleh rakyat terutamanya dalam pilihan raya di enam buah negeri yang bakal berlangsung tidak berapa lama lagi dan kami di Perikatan Nasional sebagaimana telah dijelaskan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, sedang menimbangkan tindakan undang-undang ke atas Anwar Ibrahim.
5. Makanya, pendakwaan ke atas pemimpin BERSATU dan Perikatan Nasional khususnya ke atas YB Tan Sri Muhyiddin Yassin juga merupakan kesinambungan kepada siri pembohongan, fitnah serta konspirasi jahat kerajaan campuran PH-BN dengan menyalahgunakan agensi penguatkuasa dan sistem mahkamah.
6. Hal sama berlaku kepada saya beberapa minggu lalu. Kes terhadap seorang ahli perniagaan berbangsa Cina diolah dengan niat jahat bagi memperlihatkan seolah-olah saya juga terbabit. Semua itu fitnah dan pegawai saya telah pun membuat laporan polis terhadap pihak-pihak yang menekan dan mencampuri urusan SPRM.
7. Sehubungan itu, dalam kes YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, tindakan undang-undang telah diambil dengan memfailkan satu permohonan bagi membatalkan kesemua pertuduhan bersandarkan kepada dua asas iaitu:
a) Pertuduhan-pertuduhan predikat adalah cacat dan salah kerana tiada kesalahan seperti yang dipertuduhkan.
b) Pertuduhan-pertuduhan tersebut adalah terlalu samar dan tidak jelas dan menyalahi peruntukan undang-undang berkenaan butiran yang wajib dalam kertas pertuduhan.
DATO' SERI HAMZAH ZAINUDIN
SETIAUSAHA AGUNG
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
26 Mei 2023, Petaling Jaya
0 Ulasan