MCA minta kerajaan pertimbang semula keputusan batal pembinaan litar drag

 



Pada Ogos tahun lalu, kerajaan Keluarga Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercadang untuk membina sekurang-kurangnya sebuah litar drag di setiap negeri bagi memperkasakan program pembangunan permotoran.

Namun, kerajaan baharu, Malaysia Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak merancang untuk meneruskan cadangan kerajaan terdahulu itu kerana menurut Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, langkah itu akan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi.

Pemuda MCA berasa kesal dengan keputusan ini kerana ia dilihat mampu mengekang bakat anak muda dalam sukan permotoran dan secara tidak langsung, mereka tidak mempunyai pilihan tempat untuk menzahirkan kemahiran dalam sukan ini selain di jalan raya yang akan melibatkan keselamatan orang awam.

Alasan Hannah Yeoh berhubung kos penyelenggaraan yang akan ditanggung pihak kerajaan itu bukanlah satu-satunya alasan yang perlu diambil kira untuk membatalkan cadangan tersebut.

Pemuda MCA percaya ramai anak muda yang minat dengan bidang permotoran ini, dan tidak mustahil akan ada syarikat korporat, pihak swasta dan individu yang boleh menaja kos penyelenggaraan litar drag ini, jika ia digunapakai dengan baik dan membuahkan hasil.

Pembinaan litar drag ini perlu dilihat dalam konsep yang lebih menyeluruh. Jika ada litar drag di setiap negeri, kadar kumpulan motor dan kereta ini 'berlumba' di atas jalan raya dapat dikurangkan, sekali gus tidak melibatkan hal keselamatan dan kesejahteraan orang awam.

Sekarang ini kita lihat anak-anak muda 'menguji' kuasa motor dan kereta mereka di jalan raya atau lebuh raya, dan ini pastinya memberi kerisauan kepada pengguna jalan raya yang lain. Sekiranya litar drag ini dibina, mereka tiada alasan untuk berbuat demikian kerana tempat khas telah disediakan.

Justeru, Pemuda MCA berharap kerajaan dapat memikirkan semula hal ini dan menarik balik keputusan tersebut, tanpa mempolitikkan hal ini. Jangan cadangan ini ditolak mentah-mentah hanya kerana ia datang daripada mulut pimpinan kerajaan terdahulu, sebaliknya fikirkanlah kebaikan yang akan diperolehi daripada setiap pelaksanaan tersebut.

Datuk Nicole Wong
Ketua Pemuda MCA Kebangsaan
25 Mei 2023

Catat Ulasan

0 Ulasan