Perlukah PM lantik Wong Chen sebagai Pengerusi MDV? Soal Bersih




Kenyataan Media BERSIH

25 Mei 2023

MASA UNTUK TAMATKAN LANTIKAN POLITIK DI SYARIKAT BERKAITAN KERAJAAN


Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mempersoal keperluan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan amalan pentadbiran sebelumnya dengan membuat pelantikan politik di syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Terbaru adalah lantikan YB Wong Chen, Ahli Parlimen daripada partinya, sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif di Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), iaitu sebuah syarikat milik kerajaan.

Walaupun kami memuji Wong Chen menghadkan peranannya untuk tidak mempengerusikan lembaga jawatankuasa untuk pengurusan risiko, gaji, audit, dan pembiayaan serta pelaburan untuk meminimumkan sebarang konflik kepentingan, kami tertanya-tanya sama ada negara kita kekurangan bakayt sehingga PM terpaksa melantik Wong Chen?

Kami tidak mempersoalkan kelayakan Wong Chen, atau keupayaan beliau untuk mengetuai syarikat tersebut. Bahkan Wong Chen terbukti seoarang Ahli Parlimen yang berkeupayaan dan beliau juga telah dilantik oleh rakan parlimennya untuk mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan, serta menjadi Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPM) Pendanaan Politik. Semua ini terpundak di bahu beliau selain daripada tanggungjawab dan tugas sebagai Ahli Parlimen untuk Subang.

Pengumuman Menteri Ekonomi YB Rafizi Ramli supaya calon-calon berkelayakan memohon sebagai Pengarah Eksekutif untuk dua GLC di bawah kementerian beliau, Teraju dan Peneraju, perlu diteladani dan dikanunkan sebagai sebahagian daripada SOP melantik lembaga GLC dan syarikat berkanun.

Walaupun Wong Chen telah melalui penapisan SPRM, pelantikan ini seharusnya ditapis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) dan wakil rakyat perlu dielakkan sebagai calon bagi jawatan dalam GLC, walaupun pengecualian boleh dibuat bagi badan berkanun utama yang memantau dan mengarahkan dasar kerajaan. Penapisan oleh JPKP akan memastikan hanya individu yang layak dilantik ke jawatan utama GLC dan badan berkanun kerana syarikat ini adalah penjaga kepada kekayaan awam, dan bukannya perniagaan swasta.

Perdana Menteri kerajaan perpaduan perlu mengambil peluang ini untuk menamatkan lantikan politik yang berdasawarsa lamanya yang pada masa lalu menyebabkan korupsi dan/atau salah urus GLC-GLC ini. Jadikan proses lantikan ini terbuka dan telus agar rakyat Malaysia yang berkelayakan yang ingin berkhidmat untuk negara melalui GLC dan badan berkanun agar dapat memohon.


Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH

Catat Ulasan

0 Ulasan