Salah laku tidak menggambarkan keseluruhan perkhidmatan awam - CUEPACS

Adnan Mat


CUEPACS mengambil maklum mengenai laporan tindakan tatatertib yang dikenakan kepada Penjawat Awam dalam tempoh tiga tahun sebelum ini seperti yang didedahkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Dalam hal ini CUEPACS berterima kasih kepada SPA atas laporan tersebut yang jelas menunjukkan kerajaan atau perkhidmatan awam tidak pernah sesekali berkompromi atau menyembunyikan salah laku melibatkan anggotanya. 

Sememangnya terdapat penjawat awam yang bermasalah dan tindakan tatatertib termasuklah disingkirkan dari perkhidmatan sewajarnya diambil oleh kerajaan bagi memastikan mereka yang benar-benar ingin memberikan perkhidmatan terbaik berada dalam perkhidmatan. 

Ia suatu usaha yang jelas untuk memastikan supaya penjawat awam kekal berdisiplin dan relevan sepanjang masa dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara dan rakyat.

Kes-kes salah laku dalam yang direkodkan tersebut sebenarnya tidak menggambarkan keseluruhan sikap warga perkhidmatan awam. 

CUEPACS menasihatkan orang ramai terutama masyarakat awam tidak terus menghukum atau membuat tanggapan buruk kepada keseluruhan warga penjawat awam hanya disebabkan segelintir daripada kalangan kami yang membuat kesalahan. 

Berdasarkan statistik SPA pada 2020, seramai 117 orang dikenakan tindakan tatatertib, tetapi berkurangan kepada 83 (2021) dan 51 (2022). 

Angka ini jelas menunjukkan bahawa ianya hanya mewakili jumlah yang terlalu sedikit berbanding kira-kira 1.6 juta penjawat awam.

Integriti warga penjawat awam ketika ini dilihat semakin bertambah baik selaras dengan usaha-usaha kerajaan dalam meningkatkan kualiti dan mutu perkhidmatan awam. 

Usaha meningkatkan integriti dan disiplin ini juga disokong sepenuhnya oleh penjawat awam melalui dasar-dasar transformasi perkhidmatan awam yang dilakukan kerajaan bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang berkualiti.

Penjawat awam perlu melihat semula kepada aku janji dalam perkhidmatan awam seperti yang pernah dilafazkan diawal perkhidmatan dan ia perlu dikekalkan sehingga tamat tempoh perkhidmatan. 

Rakyat sentiasa memandang dan menilai setiap apa yang dilakukan dan ianya akan memberi kesan kepada keseluruhan perkhidmatan awam walaupun jumlah pesalah integriti itu hanya seorang.


PRESIDEN CUEPACS

DATO' HAJI ADNAN MAT

Catat Ulasan

0 Ulasan