UMNO bakal hilang separuh sokongan akar umbi pada 6 PRN

Mohd Zuhdi Marzuki


1. Saya yakin pimpinan utama UMNO cukup menyedari kesan buruk terhadap parti tersebut apabila mereka 'berdakap' dengan DAP. Jika mereka boleh menggunakan alasan titah YDPA agar mereka berdakap dengan DAP membentuk kerajaan campuran PH-BN, namun ahli akar umbi mereka tidak mungkin termakan ada pula titah seumpamanya agar membentuk gabungan dengan PH bagi mengadapi PRN dan PRU.
2. Bergabung membentuk kerajaan campuran (post-electoral coalition) dan bergabung dalam satu barisan menghadapi PRN (pre-electoral coalition) adalah dua perkara yang berbeza besar. Sekiranya gabungan PH-BN diteruskan dalam menghadapi PRN dan kemudiannya PRU ke-16, UMNO selepas ini berkemungkinan tidak lagi akan menjadi parti tunjang kerajaan, malah mengecil menjadi parti pelengkap (sekunder).
3. Seruan pemimpin utama UMNO agar mengundi DAP dalam PRN akan datang memusnahkan doktrin utama perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan tanahair, kerana ideologi perjuangan DAP sama sekali bertentangan dengannya. DAP sama sekali tidak pernah meninggalkan agenda Malaysian Malaysia, dan inilah menjadi penyebab tidak ada parti Melayu yang kekal berkawan dengan mereka kecuali PAN.
4. Meskipun ramai yang memandang sinis kesetiaan ahli akar umbi UMNO terhadap perjuangan agama, bangsa dan tanahair, pengalaman bersama mereka di dalam MN sebelum ini, menunjukkan cukup ramai ahli akar umbi parti itu yang benar-benar jujur dengan perjuangan tersebut. Oleh sebab itu, apabila pimpinan utama UMNO berdakap dengan DAP, ahli-ahli akar umbi ini diyakini akan beralih kemudi.
5. Persoalan yang timbul ialah, berapa peratus ahli akar umbi UMNO ini akan beralih kemudi? Pimpinan utama UMNO boleh jadi yakin, mereka yang beralih itu tidak ramai memandangkan Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi mendapat sokongan padu dalam pemilihan UMNO baru-baru ini. Bagaimanapun, saya meyakini hampir separuh dari ahli akar umbi UMNO akan beralih sokongan daripada menyokong gabungan PH-BN.
6. Mengapa saya merumuskan sedemikian? Sejak konflik dalaman UMNO pada tahun 1987, dengan wujudnya Team A dan Team B, kemudian berpecah pula semasa Era Reformasi tahun 1998 dan yang terakhir Pasca Isu 1MDB tahun 2016, lazimnya perpecahan itu ahli akar umbi terbelah dua. Apatah lagi kali ini, UMNO telah dibawa oleh pimpinannya berdakap dengan golongan yang menunjangi Malaysian Malaysia.
7. Sekiranya separuh ahli akar-umbi UMNO beralih kemudi, maka berdasarkan dapatan daripada PRU ke-15 yang lalu iaitu 32 peratus pengundi Melayu menyokong UMNO, bermaksud tinggal hanya 16 peratus pengundi Melayu yang masih menyokong mereka. 16 peratus yang selebihnya boleh jadi akan membuat undi protes terhadap PH-BN, sama ada tidak keluar mengundi atau mengundi PN.
8. Dalam PRN akan datang, undi protes 16 peratus pengundi Melayu ini bakal menentukan siapa yang menang di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. Undi protes ini juga bakal memperkukuhkan lagi dominasi PN di Kedah, Terengganu dan Kelantan. Selain daripada itu, diyakini akan wujud pula undi protes dari pengundi bukan Melayu terhadap PH, yang akan dikupas dalam rencana yang lain.

Catat Ulasan

0 Ulasan