ABIM Kelantan pertikai sagu hati RM10,000 Lembaga Pengarah AKSB



IMBUHAN RM10,000.00 KEPADA AHLI LEMBAGA PENGARAH AKSB TIDAK MENEPATI KONSEP FIQH AULAWIYAT.

Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Kelantan (ABIM Kelantan) maklum isu pemberian imbuhan Aidilfitri kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) seramai sembilan orang, dengan setiap daripada mereka mendapat imbuhan tersebut sebanyak RM10,000.00 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM90,000.00.

Memetik laporan Malaysiakini pada 23 Mei 2023, EXCO Kerja Raya, Infrastruktur & Utiliti Kelantan, YB Azami Mohd Nor menyatakan perkara tersebut sudah tular dan menurut kenyataan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed yang memandang pemberian imbuhan sebanyak itu sebagai pengamalan biasa, mengesahkan lagi perkara tersebut berlaku.

Kami ABIM Kelantan berpendapat, pemberian imbuhan tersebut tidak menepati konsep Fiqh Aulawiyat (FiqhKeutamaan) dalam pengurusan agensi kerajaan negeri, apatah lagi AKSB sebagai syarikat pembekalan air terawat dalam negeri ini, pernah mengakui bahawa mereka memerlukan suntikan dana besar bagi menyelesaikan isu perbekalan air.

Seperti siaran Sinar Harian pada 14 Mei 2023 lalu, Pengurus Besar AKSB, Dr Nazmi Ghazali Azmi, menyatakan isu air di negeri Kelantan memerlukan sumber kewangan sebesar RM5.03 bilion, namun pemberian sagu hati hari raya kepada ALP AKSB tidak menepati Fiqh Aulawiyat kerana pemberian saguhati tersebut ialah "mengutamakan sesuatu yang sepatutnyadikemudiankan", sedangkan pengamalan yang sepatutnya ialah "mengutamakan sesuatu yang perlu diberi keutamaan".

Pemberian saguhati Aidilfitri kepada ALP AKSB menguatkan lagi jawapan lisan bernombor 107 di Parlimen pada 21 Julai 2022 oleh Mantan Menteri Air & Alam Sekitar, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa AKSB berhadapan dengan libat urus yang lemah dan tidak kompeten.

Kami menggesa ALP AKSB memperbetulkan tindakan tersebut dengan membuat kenyataan rasmi berkaitan isu ini segera dan bertanggungjawab dengan isu ini jika benar berlaku.


SAIFULNIZAM MUHAMAD

Naib Yang Dipertua ABIM Kelantan

Catat Ulasan

0 Ulasan