Cadangan mansuh pencen penjawat awam mengarut - CUEPACS

 

Adnan Mat

CUEPACS menyifatkan sebarang cadangan untuk menghapuskan atau membatalkan kemudahan pencen yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa hadapan sebagai suatu cadangan yang mengarut (tidak wajar dibangkitkan). 

Skim pencen yang menjadi keistimewaan kepada penjawat awam di negara ini tidak wajar dilihat sebagai suatu bebanan oleh kerajaan kerana ia merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan yang diberikan penjawat awam sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. 

Pemberian pencen kepada penjawat awam juga tidak wajar dibandingkan dengan pemberian pencen kepada Ahli Parlimen, wakil rakyat atau individu yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Tidak wajar untuk mana-mana ahli politik mempersoalkan keistimewaan penjawat yang menikmati skim pencen apabila majoriti daripada mereka telah berkhidmat lebih 30 tahun. 

Kami penjawat awam bukan seperti ahli politik yang berkhidmat dalam tempoh yang singkat, imbuhan yang tinggi dan dalam masa yang sama layak menikmati pencen yang besar. 

Ada dalam kalangan penjawat awam ketika ini hanya menikmati pencen sekitar RM1000 sebulan walaupun telah berkhidmat 30 tahun. 

Sudahlah ketika berkhidmat pun gaji tidaklah tinggi dan ketika sudah pencen pula masih ramai yang mempertikaikan keistimewaan pencen mereka yang sedikit itu.

CUEPACS dan penjawat awam sendiri tidak pernah cemburu atau mempertikaikan pencen yang diterima oleh mana-mana Ahli Yang Berhormat. 

Malah ada dalam kalangan mereka yang menerima lebih daripada 2 pencen walaupun tempoh perkhidmatan mereka sangat singkat jika dibandingkan dengan penjawat awam. 

Sepatutnya cadangkan sahaja untuk berikan satu pencen (mana yang tertinggi) sahaja kepada ahli-ahli yang berhormat layak terima sekiranya mahu membantu menjimatkan duit kerajaan.

Penjawat Awam berkorban untuk negara, mengabdikan diri lebih 30 tahun dengan skim pencen yang kecil tiba-tiba dapat cadangan hendak dihapuskan pula. 

Pendirian CUEPACS adalah jelas iaitu kita tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk cadangan untuk mengurangkan keistimewaan sedia ada yang dimiliki penjawat awam ketika ini termasuklah dalam hal berkaitan pencen. 

PRESIDEN CUEPACS

DATO HAJI ADNAN MAT

27 SEPTEMBER 2023

Catat Ulasan

0 Ulasan