Keputusan mahkamah nafi tohmahan terhadap Zahid - Majlis Ulama UMNO



MAJLIS Ulama UMNO ingin merakamkan rasa syukur setulusnya atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah melepaskan tanpa membebaskan YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO daripada 47 pertuduhan setelah mengambil kira keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding kesemua kes tersebut. 

Keputusan itu dibuat setelah terbongkarnya semua memo taklimat yang disediakan oleh Ahmad Akram Bin Gharib, Timbalan Pendakwaraya kepada Peguam Negara pada waktu itu (Tommy Thomas) yang telah mencadangkan bahawa tiada apa-apa pertuduhan boleh dibuat ke atas YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana tiada sebarang bukti menjuruskan kepada sebarang perlakuan jenayah. 

Keputusan ini telah menafikan segala tohmahan yang tidak berasas terhadap beliau yang terpaksa beliau hadapi selama ini. 

Keputusan ini juga dapat membersihkan nama beliau yang menjadi sasaran kecaman oleh mereka yang tidak bertanggunggjawab semata-mata ingin meraih keuntungan politik. 

Sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama mereka yang bersabar terhadap mehnah yang dilalui. 

Dengan demikian benarlah apa yang diyakini oleh pemimpin-pemimpin dan pendokong UMNO sebelum ini bahawa YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dizalimi dan beliau menjadi mangsa pendakwaan politik sejurus selepas PRU-14. 

Kezaliman terhadap YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini berlaku hanya beberapa minggu selepas Tun Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengancam supaya Presiden UMNO membubarkan UMNO. 

Hal ini diperkukuhkan lagi dengan pendedahan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dalam buku memoirnya yang bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang jelas memperakui terlibat secara langsung dalam mengatur beberapa pendakwaan terpilih terhadap individu-individu politik yang berpengaruh pada waktu itu. 

Kita mendoakan agar penganiayaan yang bermotifkan politik seumpama ini tidak berulang lagi pada masa yang akan datang apatah lagi berlaku ke atas mana mana rakyat Malaysia. 

Majlis Ulama UMNO dan Sekretariat Perpaduan Ilmuwan Islam Malaysia mengajak semua umat Islam berpegang pada prinsip keadilan Islam iaitu seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebaliknya. 

Ia penting dan menjadi satu pengajaran yang amat berguna untuk generasi yang akan datang. Itulah prinsip perundangan dan prinsip bermasyarakat di dalam Islam. 

Dengan prinsip ini keharmonian sesebuah masyarakat akan terus mekar terjaga. Majlis Ulama UMNO Malaysia turut optimis keputusan ini akan meningkatkan lagi semangat dan keyakinan ahli UMNO bahawa setiap yang hak dan benar itu pasti akan muncul dan rakyat akan menilai apa yang berlaku . 

Benarlah firman Allah SWT dalam Surah Al Isra' ayat 81 : 

(yang bermaksud)

Dan katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.” 

Semoga Allah terus merahmati dan memberkati YAB Dato' Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus menabur bakti di bumi Malaysia yang tercinta ini. 

DATO' DUSUKI AHMAD 

Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia 

5hb. September 2023


Catat Ulasan

0 Ulasan