57 kompaun dikeluarkan atas kesalahan pembakaran terbuka

 

Photo by Jens Mahnke: https://www.pexels.com/photo/bonfire-photo-776113/

Negara kini berhadapan dengan Monsun Barat Daya yang bermula pada 15 Mei 2023 dan
dijangka berterusan sehingga September 2023. Lazimnya pada tempoh ini, negara akan
mengalami taburan hujan yang kurang dan cuaca yang lebih panas dan kering.
Pada kebiasaannya, negara akan mula mengalami cuaca panas yang ketara sekitar bulan
Ogos hingga September setiap tahun dan kejadian pembakaran terbuka berpotensi
berlaku di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti di kawasan hutan dan tanah
gambut serta tapak pelupusan sampah.
Negara telah bersiap siaga sejak bulan Mei 2023, di mana saya telah mempengerusikan
Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil. 1 Tahun 2023
pada 26 Mei 2023.
Mesyuarat ini bertujuan melaporkan status terkini keadaan cuaca dan tinjauan cuaca akan
datang, status kualiti udara, merancang tindakan dan strategi bagi mencegah pembakaran
terbuka serta jerebu setempat, di samping mengatur persediaan menghadapi
kemungkinan berlakunya insiden jerebu merentas sempadan.
Mesyuarat ini dihadiri oleh kementerian, jabatan dan agensi berkaitan serta semua
kerajaan negeri termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan, Agensi
Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi
Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Sebagai inisiatif mencegah jerebu merentas sempadan, saya telah mengemukakan surat
kepada syarikat perladangan Malaysia, anak-anak syarikat dan syarikat-syarikat berkaitan
Malaysia yang beroperasi di Indonesia supaya memastikan langkah-langkah pencegahan
pembakaran terbuka di kawasan ladang diambil sewajarnya bagi mengelak berlakunya
kebakaran ladang dan hutan gambut yang menjadi punca utama insiden jerebu merentas
sempadan di rantau ini.
Di samping itu, usaha-usaha berkaitan juga akan diteruskan bersama Kementerian Luar
Negeri melalui Pejabat-pejabat Perwakilan di Indonesia. Usaha-usaha ini juga akan
dimaklumkan kepada rakan sejawat saya di Indonesia.2
NRECC dan jabatan di bawah seliaan juga turut mengambil beberapa langkah proaktif
seperti berikut:
i.
pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK)
pada 2 April 2023 bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan,
pemadaman dan penguatkuasaan dalam menangani pembakaran terbuka oleh
kementerian, jabatan dan agensi terlibat;
ii.
pengaktifan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan
Prosedur Standard Operasi Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut
kepada semua pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri dan agensi-agensi
negeri terbabit pada 29 Mac 2023;
iii.
mempertingkatkan kekerapan dan kawasan rondaan serta pemantauan udara
melalui dron di kawasan berisiko dan mudah terbakar seperti kawasan tanah
gambut dan tapak pelupusan sampah oleh Pihak Berkuasa Negeri;
iv.
memperkasakan pemantauan komuniti melalui Program Pasukan Pemantau
Pencemaran (3P) bagi membantu memantau kes-kes pembakaran terbuka;
v.
mempertingkatkan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam dan
program penyertaan komuniti sebagai tindakan pencegahan; dan
vi.
pemantauan berterusan status kualiti udara semasa melalui 65 stesen
automatik JAS dan status cuaca semasa dan ramalan cuaca oleh Jabatan
Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
MET Malaysia telah membangunkan Fire Danger Rating System (FDRS) bagi memantau
kebakaran hutan dan tanah gambut. Sistem ini telah diguna pakai oleh semua negara
ASEAN sejak tahun 2003. MET Malaysia juga telah melaksanakan penambahbaikan ke
atas sistem ini dan penambahan elemen baharu iaitu ramalan kebakaran 7 hari ke
hadapan (7 days forecast) bagi memantau potensi berlakunya kebakaran dan intensitinya.
Semua negara ASEAN terus diseru untuk menggunakan sistem ini bagi membolehkan
langkah-langkah pencegahan serta persediaan rapi dilaksanakan bagi mencegah jerebu
merentas sempadan.
Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan
membiarkan tanah atau premis dimasuki atau diceroboh oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu
atau secara tidak sengaja. Jika disabit kesalahan menyebabkan pembakaran terbuka di bawah Seksyen 29(A), Akta
Kualiti Alam Sekeliling 1974, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau
penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak
RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.
Mengikut rekod JAS bagi tempoh 1 Januari 2023 sehingga 28 Ogos 2023, sebanyak 57
kompaun telah dikeluarkan dan dua (2) kes dikenakan tindakan mahkamah di bawah
Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Orang awam boleh melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Alam
Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727 dan https://eaduan.doe.gov.my serta
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999.
Orang awam juga boleh menyemak maklumat terkini status kualiti udara melalui laman
portal JAS: www.doe.gov.my dan melalui aplikasi ‘MyIPU’ serta menyemak maklumat
cuaca daripada MET Malaysia melalui aplikasi myCuaca.
NIK NAZMI NIK AHMAD
MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM (NRECC)

Catat Ulasan

0 Ulasan