Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng membidas tindakan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang cuba untuk menarik perhatian dengan menyerang MCA dan Presidennya, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong.
Menurutnya, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke digesa untuk memberi 'nasihat' dan mengenakan tindakan kepada Teresa agar tidak berterusan merosakkan hubungan dalam kalangan Kerajaan Perpaduan.
Menerusi wawancara Mingguan Malaysia bertarikh 7 Januari 2024, Teresa telah mengatakan MCA sebagai 'lebih keras' dan agak 'sesat' apabila ditanya mengenai hubungan DAP dan MCA dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut mendakwa Ka Siong sebagai seorang yang seringkali mengkritik Anthony yang juga Menteri Pengangkutan secara terbuka sedangkan MCA hanya mempunyai dua kerusi sahaja dalam Parlimen.
"Agak pelik jika Teresa beranggapan tiada siapa yang layak untuk mengkritik kerajaan. Adakah semua pihak harus 'tutup mata' dan mengabaikan isu seperti cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K / TCM); penggunaan penuh Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik; perancangan membina SJKC menggunakan formula 10 + 6; dan masalah kekurangan guru di SJKC? Tak boleh bertanya, hanya jadi 'yes man' dan 'mengangguk' sahaja untuk setiap tindakan kerajaan walaupun salah?
"Baru-baru ini tular video memaparkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menegur Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) secara terbuka.
"Seperti yang kita sedia maklum, Pulau Pinang diketuai oleh DAP, manakala PBAPP dipengerusikan oleh DAP dan ketua pegawai eksekutifnya juga orang DAP. DAP turut memiliki tujuh orang wakil dari Pulau Pinang dalam Dewan Rakyat.
"Jadi, ikut logik akal Teresa, adakah Guan Eng ini juga dikira 'sesat'? Teresa berani nak gelar Guan Eng begitu? Kalau tidak, ini jelas 'double-standard'," tegas Teik Cheng.
Teik Cheng turut mempersoalkan niat Teresa yang sering menyerang MCA melalui media. Adakah beliau merindui kenangan ketika menjadi 'menteri minyak kelapa sawit'? Atau Teresa sengaja nak buat drama, untuk tunjukkan bahawa dia masih 'wujud'?
"Telah berulang kali MCA menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi dalam masa yang sama akan turut memberi kritikan membina dalam memainkan peranan semak dan imbang.
"Tetapi, Teresa dilihat sengaja menyerang MCA dan cuba untuk menyemai api perbalahan di dalam Kerajaan Perpaduan. Tindakan itu jelas melanggar titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
"Saya menyeru Anthony untuk memberi teguran kepada Teresa dan kenyataan seperti ini tidak seharusnya berulang lagi. Jika tidak, ia mampu menjadi barah dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.
0 Ulasan