Naib Presiden MCA, Dato' Sri Dr. Wee Jeck Seng mengingatkan Naib Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok Suh Sim supaya tidak mengabaikan tanggungjawab dan membiarkan rakyat bergelut dalam kehidupan yang serba mencabar pada ketika ini.
"Sepatutnya DAP yang memiliki 40 Ahli Parlimen dan menjadi parti terbesar dalam kerajaan pemerintah hari ini, mengangkat suara rakyat mengikut saluran yang betul. Rakyat hari ini bergelut dengan kesukaran hidup yang amat mencabar, tambahan pula dengan cukai-cukai baharu yang diperkenalkan dan kenaikan kadar SST daripada 6 peratus kepada 8 peratus.
"Tidak cukup dengan itu, rakyat yang mahu mendapatkan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari (PT&K atau TCM) turut dikenakan cukai, sedangkan ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Begitu juga dengan isu pendidikan seperti Program Dwibahasa atau Dual Language Program (DLP); masalah kekurangan guru dan banyak lagi isu yang memerlukan perhatian serius kerajaan.
"Malangnya, DAP yang kini berkuasa dilihat sekadar berdiam diri dan lebih teruk, seolah-olah mendesak MCA supaya menutup mulut dan mata daripada terus mengangkat isu-isu rakyat," tegas Jeck Seng.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai turut menjelaskan bahawa isu-isu rakyat terutamanya dekat dengan masyarakat Cina pastinya mendapat perhatian serius oleh MCA.
Ketika menjadi kerajaan, MCA akan berbincang bersama komponen Barisan Nasional sebagai satu pasukan, menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat, walaupun ia melibatkan isu sensititif.
"Imbau kembali semasa DAP menjadi pembangkang sebelum ini, mereka dilihat bersungguh dan kononnya merekalah satu-satunya parti yang memperjuangkan masyarakat Cina.
"Namun, MCA tidak pernah meminta DAP menutup mulut kerana kami meraikan perbezaan pendapat dan menghormati kebebasan bersuara.
"Inilah cara kami dalam MCA yang lebih profesional. Sebaliknya, DAP hari ini dilihat tidak sama dengan DAP semasa menjadi pembangkang sebelumnya, apabila isu-isu rakyat yang dulunya merekalah jaguh, tetapi hari ini dilihat diam membisu, berpeluk tubuh dan membiarkan rakyat 'lemas' tiada tempat berpaut.
"Benar, kami dalam MCA hari ini hanya memiliki 2 Ahli Parlimen termasuk saya. Namun kami terus mengangkat suara rakyat tanpa mengira kaum di Dewan Rakyat.
"Kenapa pula mahu kami menutup mulut? Adakah DAP tidak tahan dengan kritikan kami, walaupun ia adalah kritikan membina demi kepentingan rakyat serta negara?" soalnya.
Sehubungan itu, Jeck Seng menasihatkan Teresa Kok supaya menjalankan kerja sebagai wakil rakyat dengan baik. Teresa Kok sepatutnya sentiasa memperjuangkan isu-isu rakyat, terutamanya pada ketika di mana kos sara hidup semakin meningkat dan membebankan.
"Jika DAP tidak dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat, tidak mampu mengangkat suara rakyat atau mengotakan janji sendiri, maka DAP sepatutnya berterima kasih kepada MCA kerana sentiasa membela nasib rakyat secara konsisten," katanya.
0 Ulasan