Hormati keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes 3 anak Loh Siew Hong

Gambar: Facebook



KENYATAAN MEDIA

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI 

(HAL EHWAL AGAMA)

BERKAITAN 

ISU PENUKARAN AGAMA SECARA UNILATERAL

1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mengekalkan status quo agama Islam 3 anak kepada Loh Siew Hong yang ditukar secara unilateral oleh bekas suaminya, Nagahswaran a/l Muniandy.

2. Saya percaya penghakiman tersebut dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan Yang Arif Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian yang terbaik bagi maslahat semua pihak sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam.

3. Dalam kes ini, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa dalam kes penukaran agama secara unilateral mahkamah adalah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2018 dalam kes Indira Gandhi yang mana Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu dalam hal pemelukan agama Islam anak yang berumur di bawah 18 tahun sekiranya kedua-dua ibu bapa masih hidup. 

4. Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi juga telah mentafsirkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan berkenaan penukaran agama kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun kepada agama Islam hendaklah dengan kebenaran ibu dan bapa seperti yang berikut:

“Penukaran kepada agama lain adalah keputusan penting yang memberi kesan pada kehidupan seorang kanak-kanak, mengenakan dirinya satu gugusan undang-undang peribadi baharu dan berbeza. Jika keputusan sebesar penukaran agama seorang kanak-kanak dibuat, tanpa ragu-ragu lagi, kebenaran kedua-dua ibu bapa diperlukan demi kepentingan kanak-kanak tersebut. Pendekatan bertentangan yang membenarkan seorang kanak-kanak ditukar agamanya dengan kebenaran sama ada ibu atau bapa sahaja akan membangkitkan kepayahan amalan. Bacaan tujuan per. 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang menggalakkan kebajikan seorang kanak-kanak dan selaras dengan sikap wajar mengkehendaki agar kebenaran kedua-dua ibu bapa (jika mereka masih hidup) bagi penukaran agama kanak-kanak bawah umur. Memandangkan penjagaan anak-anak ini diberi kepada perayu, perayulah yang mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan mereka. Untuk membenarkan satu lagi pasangan menukar agama anak anak secara sebelah pihak tanpa kebenaran perayu terjumlah sebagai campur tangan serius kehidupan keluarga.”. 

5. Pada ketika ini, terdapat lapan (8) negeri yang menghendaki keizinan hanya daripada salah satu pihak sama ada ibu atau bapa bagi kemasukan Islam kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun iaitu seperti yang berikut:

(a) Wilayah Persekutuan;

(b) Melaka;

(c) Sarawak;

(d) Negeri Sembilan;

(e) Perak;

(f) Kedah; 

(g) Terengganu; dan

(h) Perlis.

6. Lima (5) negeri yang menghendaki keizinan kedua ibu dan bapa bagi kemasukan Islam kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun adalah seperti yang berikut:

(a) Pulau Pinang;

(b) Sabah;

(c) Johor;

(d) Selangor; dan

(e) Pahang.

7. Bagi negeri Pulau Pinang, Sabah, Selangor dan Johor, peruntukan mengenai keizinan kedua ibu dan bapa bagi kemasukan Islam kanak kanak yang belum mencapai umur 18 tahun merupakan peruntukan asal dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam/Enakmen Majlis Agama Islam negeri-negeri, manakala Pahang menggantikan perkataan "ibu atau bapa" kepada "ibu dan bapa" pada tahun 2020 iaitu selepas keputusan kes Indira Gandhi.

8. Sementara menunggu perkara ini di peringkat seterusnya, saya telah meminta JAKIM supaya mengusulkan perkara ini kepada 

Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan oleh YABhg. Tun Dato’ Seri Zaki bin Tun Azmi untuk diperhalusi perkara perkara berkaitan pendaftaran pengislaman agar dapat diharmonikan dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa. 

9. Saya menyeru agar semua umat Islam di negara ini dan seluruh rakyat Malaysia umumnya agar bertenang dan tidak memberikan ulasan atau pandangan yang boleh mencetuskan suasana yang tidak sihat yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian dalam negara kita yang tercinta ini.

Sekian, terima kasih.

SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

13 Januari 2024


Check out BABY KEK LAPIS SARAWAK MIN ORDER 2 BIJI!! for RM9.99 - RM11.50. Get it on Shopee now! https://shope.ee/7KXrZMC16f?share_channel_code=1 


Catat Ulasan

0 Ulasan