KENYATAAN MEDIA
MENTERI AGAMA WAJAR PERTAHAN PANDANGAN MUFTI
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) kesal dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama yang memberikan reaksi negatif terhadap jawapan Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan hukum seseorang bekerja di bank konvensional.
Jawapan Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan hukum bekerja di bank konvensional tersebut sudah cukup lengkap dan boleh difahami khususnya kekangan seseorang untuk mendapatkan kerja lain.
Namun, kekangan yang dimaksudkan itu tidaklah sampai menghilangkan hukum asal bekerja di bank yang terlibat dengan aktiviti riba. Bukanlah hasrat para mufti menjawab soal hukum sekadar untuk menambah kekeliruan dalam masyarakat kerana yang haram dan halal itu jelas dalam agama.
Ironinya, Menteri Agama sebaliknya menganggap ia sekadar polemik yang dicetuskan oleh para mufti.
Adakah Menteri Agama sudah meneliti jawapan penuh Mufti atau sekadar bersandarkan kepada laporan separuh masak?
Adakah jawapan hukum agama sedemikian yang tidak seiring dengan pendirian juga dianggap sebagai mencetuskan polemik?
DUPP bimbang jika keadaan begini berterusan hanya akan mengikis keyakinan terhadap autoriti institusi agama dalam negara, apatah lagi dalam keadaan isu-isu agama semakin dipinggirkan.
Sewajarnya Menteri Agama mengambil sikap memperbetulkan semula pandangannya terhadap jawapan mufti berkenaan serta melakukan kerjasama rentas Kementerian bagi menyediakan solusi kepada isu tersebut, bukan sebaliknya menyalahkan para mufti yang memberikan fatwanya.
Sekian.
YB USTAZ DATO' HJ AHMAD BIN YAHAYA,
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.
0 Ulasan