Kerajaan tak patut mansuh skim pencen penjawat awam - CUEPACS

 

Adnan Mat


LIBATKAN PIHAK BERKEPENTINGAN SEBELUM LAKSANAKAN SKIM CARUMAN KWSP SECARA MANDATORI UNTUK LANTIKAN TETAP BAHARU DALAM PERKHIDMATAN AWAM

CUEPACS berpandangan kerajaan tidak sepatutnya memansuhkan skim pencen penjawat awam yang secara puratanya berkhidmat untuk negara melebihi 30 tahun sebelum layak meneria faedah saraan. Ketika ini penjawat awam dibenarkan membuat pilihan sama ada memilih skim berpencen ataupun caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Walaupun terdapat penjawat awam yang memilih skim caruman KWSP, tetapi kebanyakan mereka lebih memilih skim berpencen kerana ianya dianggap sebagai lebih baik dan menjamin kesejahteraan selepas persaraan kelak. Dengan skim gaji yang masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini, skim caruman KWSP inni dilihat tidak membantu penjawat awam mempunyai simpanan hari tua yang baik selepas persaraan kelak. Disebabkan itulah kebanyakan penjawat awam lebih memilih skim pencen kerana kerana ia adalah keistimewaan yang terbaik kepada mereka.

Kerajaan sewajarnya mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum terus menetapkan skim caruman KWSP secara mandatori kepada lantikan baharu kelak. Pandangan CUEPACS jelas, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan sesuatu perkara perlulah berlandaskan prinsip tidak dikurangkan faedah semasa yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini. Kerajaan harus memastikan gaji yang diterima hari ini mampu memberi kesejahteraan hidup untuk penjawat awam dan dalam masa yang sama gaji ini mampu memberi simpanan untuk hari persaraan kelak. Sekiranya kerajaan tetap ingin menamatkan skim pencen ini, ianya hendaklah terpakai kepada lantikan politik yang layak menerima pencen ketika ini. 



Jika kekangan kewangan yang menghalang kerajaan untuk meneruskan skim pencen perkhidmatan awam, kerajaan juga perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli politik. Ketika ini ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat membabitkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri serta dilantik ke dalam jawatan eksekutif seperti exco, menteri, timbalan menteri juga layak untuk menerima pencen. Pemansuhan pemberian pencen kepada golongan ini terlebih dahulu merupakan langkah yang tepat kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar 5 tahun sahaja. Kumpulan ini bukan sahaja menerima elaun serta peruntukan yang tinggi semasa berkhidmat malah memiliki pelbagai keistimewaan berbanding penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun. Keutamaan kepada kerajaan ketika ini adalah mengkaji bagi kes-kes yang berkhidmat waktu singkat tetapi menikmati faedah saraan yang agak selesa dan bukannya menyasarkan kepada penjawat awam sahaja.

Dalam masa yang sama CUEPACS menyambut baik pencerahan yang diberi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam bahawa pengambilan secara lantikan kontrak sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan adalah langkah sementara sahaja bagi pengambilan baharu dalam perkhidmatan awam bermula 1 Februari 2024. Perjawatan tetap masih wujud tetapi dalam tempoh interim ini hanya dilantik sebagai kontrak sebelum dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah Sistem Saraan Pekhidmatan Awam yang akan dimuktamadkan kelak. Situasi semasa ini tidak melibatkan lantikan tetap sebelum ini dan tidak seperti kefahaman orang ramai bahawa lantikan baharu kelak hanya diberikan status kontrak sahaja.  

Terima kasih.

PRESIDEN CUEPACS

DATO DR ADNAN MAT

25 JANUARI 2024

Catat Ulasan

0 Ulasan