Kesukaran kerajaan bukan alasan hukum rakyat termasuk penjawat awam




Saya bersedia untuk tidak menerima pencen sebagai Ahli Parlimen, tetapi tidak sanggup melihat penjawat awam berdepan situasi sama.

Perlu diingatkan bahawa kebanyakan penjawat awam ini berkhidmat kepada negara dan rakyat dengan memikul tanggungjawab di kementerian, jabatan dan agensi masing-masing. Mereka juga berkhidmat dalam tempoh yang panjang, sehingga ada yang mencecah puluhan tahun.

Apa yang menghairankan, bukankah penjawat awam sudah dibenarkan membuat pilihan masing-masing sama ada mahu memilih skim berpencen ataupun caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?

Saya menyedari dan memahami kesukaran kerajaan hari ini apabila mengalami kekangan kewangan. Namun ia tidak boleh dijadikan alasan utama untuk menghukum rakyat termasuk penjawat awam menerusi dasar-dasar yang bagi saya, boleh dielakkan daripada melaksanakannya.



Tambahan pula tahun ini bermulanya kenaikan cukai SST dari 6% kepada 8% dan cukai-cukai baharu yang bakal dilaksanakan seperti Cukai Barang Nilai Rendah (LVGT) 10%; Cukai Keuntungan Modal 10%; Kenaikan tarif elektrik sebanyak 5% bagi M40; kenaikan kadar Cukai Perkhidmatan Digital dari 6% kepada 8%; Cukai 8% bagi perubatan tradisional dan komplementari (PT&K); dan penarikan subsidi RON95 dan diesel yang dijangka pada separuh pertama 2024. Kesemua ini turut memberi kesan kepada penjawat awam.

MCA telah banyak kali mengesyorkan supaya kerajaan kembali melaksanakan GST bagi membantu negara meraih pendapatan, seterusnya dikembalikan semula kepada rakyat. Sudah banyak kali juga dicadangkan supaya tukar nama GST kepada satu nama yang lain, jika tidak mahu menampakkan ia sebagai kejayaan kerajaan Barisan Nasional terdahulu atau tidak mahu dilihat membuat pusingan U, asalkan sistem cukai itu telus dan adil seperti GST.

Inilah punca sebenar apa yang menimpa negara kita sehingga memberi kesan buruk kepada rakyat.

Dato' Sri Dr. Wee Jeck Seng
Naib Presiden MCA
Ahli Parlimen Tanjung Piai
26 Januari 2024

Catat Ulasan

0 Ulasan