Lebih baik salur peruntukan iklan Madani RM8.9 juta kepada rakyat miskin

 



Pada 16 November 2023, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan, kos perbelanjaan bagi program Malaysia MADANI termasuk pengiklanan dan promosi setakat November 2022 adalah sebanyak RM8.9 juta.

Justeru, pemimpin kerajaan perlu diingatkan tentang akujanji mereka iaitu mahu menguruskan wang rakyat dengan baik serta tidak boros lebih-lebih lagi bagi tujuan politik, termasuk promosi tersebut dilihat semata-mata mahu menaikkan imej politik tanpa membawa manfaat kepada rakyat.

Walaupun Armizan menjelaskan, sebahagian besar daripada peruntukan itu terutamanya kos pemasangan papan iklan menggunakan peruntukan pentadbiran kerajaan terdahulu, namun kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) ini tidak semestinya perlu mengguna atau menghabiskan sepenuhnya peruntukan tersebut.

Bukankah kerajaan memiliki kuasa dengan membatalkan peruntukan tersebut, sama seperti tindakan terpuji YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada November 2022, apabila menolak untuk menggunakan Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk kegunaan rasmi Perdana Menteri sebelum beliau memasuki pejabat sebagai Perdana Menteri.

Begitu juga dengan papan iklan (billboard) yang memaparkan wajah YAB Perdana Menteri. Pada 29 April 2023, YAB PM sendiri telah mengarahkan supaya pemasangan papan iklan baharu yang memaparkan wajah dirinya dan Malaysia MADANI yang menggunakan peruntukan kerajaan dihentikan serta-merta.

Justeru, rakyat lebih mengharapkan kesejahteraan yang dibawa oleh Malaysia MADANI daripada memahami atau menghayati maksud di sebalik singkatan itu, sedangkan ekonomi masih gawat dan hidup masih terhimpit.

Mungkin lebih baik dana sebanyak RM8.9 juta tersebut diguna untuk membeli 684,615 kampit beras 5kg berharga RM13 sekampit dan disalurkan kepada rakyat miskin.

Mike Chong
Timbalan Ketua Pemuda MCA
17 Januari 2024

Catat Ulasan

0 Ulasan