Tun Mahathir tak patut buat kenyataan rasis - MCA

 


Bagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum, adalah menjadi satu kebiasaan untuk bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing, dan pada masa sama mempelajari Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Malah, sistem persekolahan pelbagai aliran yang wujud di negara kita adalah bukti keupayaan rakyat dalam pelbagai bahasa, dan keunikan inilah menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia. 

Justeru itu, tidak wajar bagi mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mempersoalkan ketaatan kaum Cina dan India kepada negara Malaysia sambil menggesa bukan Melayu untuk mengasimilasikan diri dengan masyarakat Melayu.

Ini bukan kali pertama Dr Mahathir membuat kenyataan berbaur kontroversi yang menyentuh isu perkauman dengan tujuan mengalihkan perhatian daripada isu-isu diri dan anaknya. Malangnya, taktik beliau ini bakal menghasut kebencian di kalangan rakyat pelbagai kaum sehingga isu-isu penting diabaikan.

Sebagai seorang pemimpin veteran negara, Dr Mahathir sepatutnya rasa bangga terhadap keunikan kepelbagaian kaum di negara kita yang dapat hidup bersama-sama dengan aman dan harmoni. Kecewanya, beliau sering mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang mampu menjejaskan hubungan antara kaum. Sepatutnya, beliau mempromosikan kepelbagaian kaum dan budaya negara kita sebagai satu aset di pentas global, khususnya dalam era ini di mana peperangan dan masalah etnik membelenggu dunia.

Oleh itu, semua rakyat digesa bersama-sama mempertahankan prinsip kesederhanaan dan kepelbagaian negara kita demi memastikan keamanan, keharmonian dan kemakmuran. Melalui cara ini, dapatlah kita menangkis dakwaan Dr Mahathir dan pemimpin lain yang berniat menggugat keamanan negara.

Kerajaan juga disaran menumpukan usaha kepada pemulihan ekonomi dan penyelesaian masalah kos sara hidup rakyat dengan menangani masalah inflasi, isu bekalan makanan dan pembinaan rumah mampu milik. Apabila kebajikan rakyat dijaga dengan baik, isu-isu 3R (raja, kaum dan agama) tidak akan mendapat sambutan. 

Datuk Tan Teik Cheng
Naib Presiden MCA
15 Januari 2024



Catat Ulasan

0 Ulasan