Jangan politikkan keputusan batal 16 enakmen kesalahan syariah - Ustaz Takiri

Jangan Politikkan Keputusan Pembatalan 16 Enakmen Kesalahan Syariah

1. Keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 Enakmen Kesalahan Syariah (1) Kelantan tidak wajar dipolitikkan untuk kepentingan mana-mana pihak. Ia adalah isu bersama umat Islam untuk memperkasakan lagi kedudukan Islam dan undang-undang kesalahan Syariah dalam negara. 

2. Kesedaran dan sentimen umum umat Islam dalam negara hari ini tentang pentingnya memperkasakan Syariah khususnya apabila petisyen membatalkan enakmen kesalahan Syariah ini di bawa ke Mahkamah Persekutuan adalah sesuatu yang sangat positif dan menunjukkan kejayaan sistem pendidikan Islam arus perdana dalam negara ke arah memupuk kefahaman beragama di kalangan umat Islam.

3. Isu yang berbangkit ialah tentang bidang kuasa menggubal undang-undang kesalahan Syariah. Adakah Dewan Undangan Negeri (DUN) turut mempunyai kuasa dalam perkara kesalahan jenayah yang telah tersenarai dalam jadual Persekutuan. Atas kefahaman bahawa ia adalah juga kuasa DUN maka negeri-negeri bukan hanya Kelantan sejak 1980 an lagi telah menggubal enakmen kesalahan Syariah dan telah diguna pakai untuk menghukum umat Islam yang melakukan kesalahan di negeri-negeri menerusi Mahkamah Syariah.




4. Enakmen Kesalahan Syariah (1) Kelantan adalah lanjutan enakmen yang dibuat pada 80 an kemudian dipinda pada 90 an oleh DUN Kelantan. Pembatalan 16 enakmen kesalahan Syariah ini turut akan menjejaskan enakmen seumpamanya di negeri-negeri lain.

5. Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dipengerusikan oleh Tun Zaki bin Tun Azmi bekas Ketua Hakim Negara untuk mengkaji isu-isu berbangkit bagi dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia dan Majlis Raja-raja. Sebarang isu melibatkan  hal ehwal Islam perlu dibawa kepada Majlis Raja-raja sebagai pemegang amanah menjaga dan memelihara Islam dalam negara menerusi kuasa negeri sesuai dengan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri.

Sekian

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1

Catat Ulasan

0 Ulasan