Keputusan kes Nik Elin ada impak besar - Hamzah




KENYATAAN MEDIA

Keputusan petisyen Nik Elin Zurina, yang tidak berpihak kepada Badan Perundangan Negeri Kelantan telah menyentuh perasaan seluruh umat Islam. Tambahan pula apabila dalam Artikel 3 PerlembagaanPersekutuan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Perkembangan ini memperlihatkan adanya kelompongan serius dalam kuasa serta bidang kuasa berkaitan dengan Hak Menganut dan Mengamal (profess and practice) majoriti rakyat Malaysia.

Kesan daripada keputusan ini akan menggugat Enakmen Jenayah Syariah di seluruh negeri-negeri dalam negara kita yang tercinta ini. Ianya akan mendedahkan enakmen negeri-negeri ini kepada risiko pembatalan.




Jika dilihat dari mata kasar, keputusan ini boleh mendatangkan impak besar dalam menghakis kuasa serta bidang kuasa Raja-Raja Melayu. Walhal, Raja-Raja Melayu termasuk Yang di-Pertuan Agong semasa mengangkat sumpah jawatan mengikut Perkara 37 (1) telah bersumpah untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.

Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa terdapat Wasiat Raja-Raja Melayu semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang antara lain mewasiatkan “Kami Mengisytiharkan Islam Adalah Agama Rasmi Persekutuan” dan “Kami Mengamanahkan dan Kami Pertanggungjawabkan Kepada Raja-Raja Melayu Untuk Melindungi Kedudukan Istimewa Orang Melayu”.

Meneliti dengan cermat dan sebagai langkah kehadapan, menjadi keperluan untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi maksud memperkasakan undang-undang syariah terutamanya berkaitan Hak Menganut dan Mengamal (profess and practice) majoriti rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Kami menyeru kepada semua pihak berkepentingan untuk duduk semeja tanpa dibatasi sempadan politik bagi menjayakan hasrat ini.

Sehubungan itu, saya selaku Ketua Pembangkang akan memohon menghadap untuk menyerahkan memorandum khas kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dalam masa terdekat bagi menyembah maklum suara hati rakyat serta langkah-langkah penyesuaian kepada pemerkasaan yang perlu dilunaskan.

DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
Ketua Pembangkang
9 Februari 2024, Kuala Lumpur.

Catat Ulasan

0 Ulasan